PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan keputusan mahkamah supaya beliau membayar ganti rugi RM2 juta dalam saman fitnah yang difailkan terhadap beliau oleh MonSpace (M) Sdn Bhd dan pengasasnya Datuk Seri Jessy Lai Cha Suang.

Peguamnya Guok Ngek Seong, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan bahawa notis usul memohon perintah penangguhan, difailkan semalam berserta sijil perakuan segera.

Dalam permohonannya, Lim mahu mahkamah menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Mac tahun ini yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi RM2 juta, sementara menunggu penyelesaian rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Beliau juga memohon penangguhan sementara keputusan Mahkamah Tinggi sementara menunggu penyelesaian permohonan penangguhannya.

Pada 16 Mac lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Lim membayar RM2 juta kepada syarikat e-dagang dan Lai selepas membenarkan saman fitnah mereka. Lim kemudiannya memfailkan rayuan pada hari yang sama.

Guok berkata pengurusan kes ditetapkan esok di hadapan pendaftar Mahkamah Rayuan.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Lim untuk penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi menyebabkan beliau memfailkan permohonan penangguhan itu di Mahkamah Rayuan.

Lai dan MonSpace memfailkan saman terhadap Lim (defendan) pada Jun 2019, kerana mendakwa defendan mengeluarkan kenyataan fitnah yang diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris dan Cina bahawa mereka menjalankan perniagaan haram dan menipu pelabur dari negara China.

Lai berkata Lim membuat kenyataan itu pada Mei 2017 dan November 2018 apabila beliau membawa sekumpulan individu, yang dikatakan pelabur MonSpace, ke pejabat Lai dan kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.

Beliau mendakwa kenyataan itu memberi tekanan kepada pihak berkuasa, termasuk polis, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), untuk mengambil tindakan terhadapnya.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir berkata mahkamah mendapati MonSpace dan Lai berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap Lim kerana memfitnah dan kenyataan Lim juga jelas telah mencemarkan imej dan reputasi mereka.

-- BERNAMA