KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat pada Isnin terus panas apabila Datuk Awang Hashim (PN - Pendang) diarahkan keluar dewan. 

Timbalan Speaker, Alice Lau Kiong membuat keputusan itu selepas Awang enggan menarik balik perkataan “bohong” yang diungkapkannya ketika berbahas.

Perkataan tersebut ditujukan kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkaitan isu tanah rizab Melayu sebelum ini.

Alice Lau: “Kalau kata tidak betul, kata tidak betul atau silap. Kalau kata bohong, itu adalah sangkaan jahat.”

Awang: “Dia tak dapat fakta, sepatutnya rujuk dulu.”

Alice Lau: “Jadi, kata menteri rujuk fakta, bukan kata bohong.”

Awang: “Dia ada niat untuk memburukkan, sangkaan jahat kepada negeri Kedah.”

Alice Lau: “Bagaimana Pendang boleh tunjukkan menteri berniat untuk bohong?”

Awang: “Ya, ini dia, fakta saya bawa yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kedah. Dia berbohong.”

Alice Lau kemudian mengarahkan Awang untuk keluar selama sehari selepas Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) itu tetap enggan menarik balik perkataan “bohong” dilontarkannya.

“Sila rujuk kepada peraturan mesyuarat dulu kalau mahu saya rujuk kepada Kamus Dewan. Ini Parlimen, Dewan Rakyat.

“Saya minta Yang Berhormat Pendang, saya bagi amaran terakahir, sama ada mahu tarik balik atau tidak.

“Bentara, silakan Yang Berhormat Pendang keluar. Saya bagi keluar satu hari, boleh masuk esok. Keluar satu hari.”

Alice Lau bagaimanapun kemudian mengubah keputusannya, menukarkan tempoh sehari kepada sekurang-kurangnya sejam. 

Awang pada 8 Mac lepas turut diarahkan keluar dewan selama dua hari selepas berulang kali mengganggu sesi penggulungan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Nik Nazmi pada 29 Mac lalu memaklumkan, jumlah tanah rizab Melayu di Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menurun antara tahun 2021 dan 2022.

Beliau menjelaskan, tanah rizab Melayu di Kedah berkurang daripada 721,888.93 hektar kepada 716, 537.28 hektar.

Sementara itu, Perak merekodkan penurunan daripada 953,42.67 hektar kepada 953,40.87 hektar dan Kuala Lumpur daripada 1,003.56 hektar kepada 99.48 hektar.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang memintanya menyatakan berapa jumlah keluasan asal tanah rizab Melayu mengikut negeri di Semenanjung dan rancangan kerajaan untuk mengatasi isu keluasan yang semakin berkurangan.

Bagaimanapun, menurut Nik Nazmi, secara keseluruhannya jumlah tanah rizab Melayu tidak berkurangan dan kerugian yang dicatat juga bukan dalam jumlah yang besar.

Jelasnya, keluasan kawasan pewartaan tanah rizab Melayu sehingga 31 Disember 2022 adalah berjumlah 4,996,406.42 hektar.