MALAYSIA

Ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan, tipu individu dapatkan darjah kebesaran Pahang

Bernama 21/07/2025 | 09:15 MYT
Suspek didakwa mendorong mangsa memindahkan wang kononnya untuk pembelian aksesori baju istiadat. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana dipercayai menipu seorang individu dengan meminta wang RM6,000 bagi mendapatkan darjah kebesaran negeri Pahang.


Ringkasan AI
  • Ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan SPRM Sabah kerana disyaki menipu individu RM6,000 dengan menawarkan darjah kebesaran Pahang secara tidak sah.
  • Suspek didakwa mendorong mangsa memindahkan wang kononnya untuk pembelian aksesori baju istiadat, walaupun tiada kuasa sebenar untuk urus penganugerahan gelaran.
  • Suspek dijamin RM10,000 (deposit RM5,000) dan akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu Khamis ini di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.


Suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira 12 tengah hari tadi ketika hadir di Pejabat SPRM Sabah di sini untuk memberikan keterangan.

Menurut sumber, berdasarkan siasatan awal suspek disyaki telah menawarkan untuk membantu pengadu mendapatkan gelaran Datuk dari negeri Pahang pada 2023, walaupun beliau tidak mempunyai kuasa atau keupayaan untuk berbuat demikian.

"Suspek dipercayai telah mendorong pengadu secara tidak jujur untuk memindahkan wang RM6,000, kononnya bagi pembelian aksesori baju istiadat yang diperlukan untuk mendapatkan darjah kebesaran tersebut," katanya.

Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy mengesahkan penangkapan itu dan memaklumkan suspek telah dibebaskan dengan jaminan setelah membayar deposit tunai RM5,000 daripada jumlah jaminan RM10,000 yang dikenakan.

Beliau memaklumkan bahawa suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Khamis ini di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA




#ahli perniagaan bergelar Datu #ditahan SPRM #menipu #Darjah Kebesaran Negeri Pahang