MALAYSIA
Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah beri pernyataan palsu kepada Pendaftar Syarikat

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan diberikan jaminan RM8,000, manakala suaminya, yang turut didakwa, gagal hadir ke mahkamah dan dikenakan waran tangkap. - Foto Bernama
KUANTAN: Seorang ahli perniagaan wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat pernyataan palsu kepada Pendaftar Syarikat mengenai peletakan jawatan tiga pengarah syarikatnya, dua tahun lepas.
Ringkasan AI
- Datuk Azjuriyahti Azlan didakwa membuat pernyataan palsu berhubung peletakan jawatan tiga pengarah syarikat KMDI Holding Sdn Bhd, melibatkan Borang Seksyen 58 di bawah Akta Syarikat 2016.
- Tertuduh mengaku tidak bersalah dan diberikan jaminan RM8,000, manakala suaminya, yang turut didakwa, gagal hadir ke mahkamah dan dikenakan waran tangkap, serta diarahkan kemuka sijil sakit daripada hospital kerajaan.
- Sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Ogos 2025 bagi penyerahan dokumen dan tindakan lanjut terhadap Mohd Nazrul Izad berkaitan kegagalan hadir prosiding.
Penyataan palsu itu membabitkan peletakan jawatan L. Sivakumar, Prof Madya Dr Mohd Zainizan Shahdan dan Shahkeer Azzat Zailan sebagai pengarah KMDI Holding Sdn Bhd melalui Borang Seksyen 58 dan kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma KMDI, Jalan Gambut di sini pada 20 Jun 2023.
Azjuriyahti didakwa mengikut Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Abdul Hadi Abdul Muti mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Muhammad Nazrin Mohd Seth yang mewakili tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan antara RM5,000 hingga RM8,000, atas alasan penjamin merupakan kontraktor dengan pendapatan yang tidak tetap.
Hakim Noor Aisah Mohamed kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 dan menetapkan 28 Ogos untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.
Sementara itu pada prosiding sama, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Mohd Nazrul Izad yang gagal hadir ke mahkamah hari ini, selepas permohonan dibuat pihak pendakwaan.
Muhammad Nazrin memaklumkan anak guamnya tidak dapat hadir kerana dimasukkan ke hospital swasta akibat pelbagai masalah kesihatan dan telah menyerahkan surat kemasukan hospital kepada mahkamah.
Bagaimanapun, Abdul Hadi berhujah bahawa surat hospital swasta tidak boleh diterima pakai dan tertuduh seharusnya mengemukakan sijil sakit daripada hospital atau klinik kerajaan.
Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan Mohd Nazrul Izad menyerahkan sijil sakit daripada hospital kerajaan dengan pengesahan Pegawai Perubatan Gred 41 ke atas pada tarikh sebutan sama.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami