[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Ahli perniagaan rugi lebih RM700,000 terperdaya tawaran kerja palsu di FB

Bernama 17/06/2025 | 15:55 MYT
Seorang ahli perniagaan dalam bidang perkakasan kerugian lebih RM700,000 selepas terperdaya dengan tawaran pekerjaan tidak wujud menerusi laman sosial Facebook, bulan lepas. - Foto hiasan
SEREMBAN: Seorang ahli perniagaan dalam bidang perkakasan kerugian lebih RM700,000 selepas terperdaya dengan tawaran pekerjaan tidak wujud menerusi laman sosial Facebook, bulan lepas.
Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Abdul Malik Hasim berkata mangsa seorang lelaki tempatan berusia lewat 30-an, mendakwa berkenalan dengan seorang wanita warga China yang kemudian memperkenalkannya kepada laman sesawang dikenali sebagai "Yoox-Shooping" pada 15 Mei lepas.
"Wanita terbabit menawarkan kerjasama dalam urusan perniagaan dan meminta mangsa membuka sebuah kedai dalam talian di laman sesawang berkenaan.
"Mangsa diminta membuat bayaran ke dalam 10 akaun bank berbeza bagi menaikkan penarafan kedai miliknya menerusi 27 transaksi berasingan dengan jumlah keseluruhan RM703,337.41," katanya dalam kenyataan malam ini.
Abdul Malik berkata mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila wanita itu sekali lagi meminta bayaran tambahan sebanyak RM300,000 kononnya untuk mengeluarkan keuntungan daripada peningkatan penarafan kedai.
Susulan itu, katanya mangsa tampil membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA
#ahli perniagaan #tawaran kerja palsu #Facebook #Polis Daerah Nilai