IPOH: Perak melarang Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di semua negeri mengambil bahagian dalam aktiviti mengajar atau bersyarah di mana-mana masjid dan surau yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Larangan itu turut terpakai terhadap mereka yang telah bersara daripada jawatan-jawatan itu tetapi masih aktif dengan kegiatan politik.

Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, larangan itu yang diputuskan Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak, terkandung dalam garis panduan yang dikeluarkan pihaknya.

Menurutnya, larangan turut meliputi individu yang tiada tauliah mengajar daripada Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perak, pemegang jawatan dalam mana-mana parti politik, dan yang menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Kecil.

“Jawatankuasa kariah masjid dan surau hendaklah sentiasa memantau aktiviti mengajar atau bersyarah agar ianya selari dengan matlamat untuk pengukuhan ilmu dan pemupukan perpaduan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berharap semua jawatankuasa kariah masjid dan surau agar mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.