Ahmad Faizal mengadap Sultan Perak esok

Abd Razak Mohd Ali
Mac 9, 2020 15:11 MYT
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijadual mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, di sini, pagi esok. - Gambar fail
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijadual mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Kinta, di sini, pagi esok.
Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar Perak, Zulkefli Abdullah, berkata Ahmad Faizal dijadualkan mengadap pada jam 10 pagi, Selasa.
Menurutnya, ia sejajar dengan perkembangan politik yang berlaku di Perak sekarang.
BACA: PH terkubur di Perak, 32 ADUN bentuk kerajaan baharu
“Sejajar dengan perkembangan situasi politik terkini di negeri adalah dimaklumkan bahawa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijadualkan mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada jam 10 pagi di Istana Kinta esok,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam ini.
Terdahulu, Kerajaan negeri Perak berubah selepas 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersetuju membentuk kerajaan baharu.
Perkara itu dimaklumkan Ahmad Faizal yang berkata, kerajaan negeri kini terbentuk hasil gabungan wakil rakyat UMNO (25 kerusi), Pas (3 kerusi) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (4 kerusi).
Jelasnya, Bersatu mendapat pertambahan dua lagi kerusi selepas penyertaan ADUN Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari dan ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.
#Ahmad Faizal Azumu #mengadap Sultan #Menteri Besar Perak #Perak #Sultan Nazrin Muizzuddin Shah #Sultan Perak #Zulkefli Abdullah