KUALA LUMPUR:Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud hari ini dibenarkan pulang selepas disahkan pulih daripada jangkitan COVID-19.

Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Terengganu itu memaklumkan, beliau dan isteri akan menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari lagi.

“Alhamdulillah. Syukur saya ke hadrat Allah SWT dengan izin-Nya, saya dan Isteri telah pulih daripada jangkitan virus COVID-19 dan telah dibenarkan pulang pada hari ini.

“Penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan dan memberi sokongan kepada kami.

“Hari ini kami telah dibenarkan pulang untuk berehat dan dikuarantin selama 10 hari lagi di rumah,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Sabtu malam.

BACA: Ahmad Said dan isteri positif COVID-19

Beliau telah dibenarkan pulang ke rumah petang tadi selepas menjalani rawatan selama 12 hari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Ahmad Said dan isteri telah disahkan dijangkiti COVID-19 pada 19 Januari lalu.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar negara kita sekarang pulih daripada pendemik COVID-19 dengan kadar yang segera jua. Insya-Allah.

“Sama-kita jaga SOP yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan itu lagi.