MALAYSIA
Ahmad Samsuri bukan penjenayah, nama tiada dalam senarai SPK - KPN

Razarudin berkata, dakwaan Ahmad Samsuri bahawa beliau diletakkan di bawah status individu dianggap berisiko oleh pihak tertentu walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah adalah tidak benar.
KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk meletakkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Menurutnya, dakwaan Ahmad Samsuri bahawa dirinya diletakkan di bawah status individu dianggap berisiko oleh pihak tertentu walaupun tanpa sebarang kesalahan dibuktikan secara sah adalah tidak benar.
"Istilah kawalan perjalanan TCO (Pejabat Kawalan Perjalanan) yang digunakan beliau (Ahmad Samsuri) dalam posting dimuat naik juga tidak tepat kerana TCO sebenarnya merupakan jawatan pegawai polis yang bertugas di pintu keluar masuk negara.
“Beliau bukanlah seorang penjenayah yang perlu diletakkan dalam SPK bagi individu (penjenayah) dikehendaki yang perlu ditahan di dalam atau luar negara.“Malah, jawatannya sebagai seorang menteri besar turut memerlukan perlindungan serta kawalan keselamatan pegawai pengiring yang terdiri daripada pihak polis sendiri maka secara tidak langsung semua pergerakannya diketahui," katanya pada Jumaat.
Razarudin berkata, tiada keperluan untuk pihak polis meletakkan Ahmad Samsuri di bawah senarai SPK.
Katanya, setiap orang kenamaan (VIP) yang melalui pintu masuk negara akan menggunakan laluan khas selain diiringi pegawai ditugaskan.
“Selain itu, ia perkara biasa sebagai seorang menteri besar yang ingin ke luar negara ditanya soalan-soalan berkaitan kerana bagi memudahkan pihak polis melakukan kawalan keselamatan di tempat dituju,” ujarnya.
Pada Khamis, Ahmad Samsuri mendakwa beliau dilabel sebagai individu di bawah kawalan TCO sejak tahun lalu, menyebabkan pergerakannya dipantau rapi oleh pihak tertentu.
Dalam kenyataan pemimpin itu, beliau juga mendakwa keadaan itu menyebabkannya perlu melalui kawalan ketat setiap kali berada di sempadan termasuk ketika ke Sabah dan Sarawak, malah memerlukan kelulusan khas sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.
Ahmad Samsuri juga mendakwa telefonnya juga mungkin dipintas.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa seorang lagi tokoh pembangkang juga menerima layanan sama. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami