KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memuji kecekapan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pelbagai agensi kerajaan dalam menguruskan mangsa banjir di negeri itu.

Beliau berkata proses pemindahan mangsa dan pengurusan di pusat pemindahan sementara (PPS) berjalan lancar meskipun jumlah mangsa di seluruh negeri mencecah hampir 1,700 orang setakat tengah hari ini.

"Setakat ini saya tengok NADMA dan semua agensi yang terlibat dalam pengurusan banjir telah mengadakan perancangan awal, sebagaimana kebiasaan sebelum ini.

"Dengan pengalaman dan latihan simulasi yang dibuat bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta semua agensi kerajaan, saya rasa pengurusan memang terbaiklah," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Chendering di sini hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ru Rendang turut memuji pengurusan sekolah-sekolah di daerah terkesan banjir yang telah membuat keputusan terbaik dalam menilai kebolehoperasian sesi persekolahan.

"Sekolah sendiri tahu nak buat apa dan ada sekolah yang dah putuskan perlu ambil cuti bencana dan sesetengah lagi ada yang putuskan untuk teruskan... sampai ke tengah hari ini dan akan buat keputusan semula," katanya.

Hujan berterusan selama dua hari menyebabkan jumlah mangsa banjir di empat daerah di Terengganu iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Marang terus meningkat kepada 1,679 orang daripada 462 keluarga ditempatkan di 15 PPS setakat 12 tengah hari ini.

Fenomena banjir akibat hujan lebat susulan Monsun Timur Laut yang dijangka hingga Mac tahun depan itu turut menyebabkan 12 sekolah di Terengganu telah ditutup akibat dinaiki air manakala sembilan lagi dijadikan sebagai PPS.

-- BERNAMA