Ahmad Zahid, Anutin bincang keselamatan serantau

Perjumpaan antara Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Anutin Charnvirakul di Bangkok, Thailand sempena Mesyuarat ke-14 Menteri-Menteri ASEAN. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan harapan agar Thailand dan Kemboja terus menunjukkan komitmen berterusan dalam mematuhi gencatan senjata dan Perjanjian Damai Kuala Lumpur bagi memastikan keselamatan masyarakat di kawasan sempadan kekal terjamin.
Perkara itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika beliau mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, di Bangkok, pada Khamis.
Menurut Zahid, sesi perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada isu keselamatan serantau dan perkara yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Malaysia memandang serius perkembangan semasa dan berharap langkah penyelesaian dapat segera dilaksanakan demi melindungi orang awam dan mempertahankan kestabilan wilayah.
“Selaras dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya menegaskan bahawa keselamatan rakyat mesti menjadi keutamaan dan semua pihak perlu kembali kepada pendekatan diplomasi serta pematuhan undang-undang antarabangsa bagi meredakan keadaan yang semakin meruncing,” katanya dalam kenyataan satu kenyataan pada Khamis.
Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia akan terus mengambil pendekatan menyeluruh dan bersepadu dalam menangani isu berkaitan keselamatan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rantau ini terus terpelihara.
Tambahnya lagi, hubungan rapat Malaysia-Thailand akan terus diperkukuh untuk membina masa hadapan ASEAN yang lebih kukuh serta berdaya tahan.
Zahid dan Anutin turut sepakat untuk meningkatkan kerjasama dalam kesiapsiagaan serta tindak balas terhadap bencana rentas sempadan.
Berdasarkan persetujuan sebelum ini, kedua-dua negara akan mempertingkat perkongsian maklumat meteorologi, penyelarasan sistem amaran awal, kerjasama antara agensi serta melaksanakan latihan bersama bagi menghadapi ancaman banjir, ribut dan bencana yang semakin kompleks akibat perubahan iklim.
Pertemuan itu juga membuka ruang perbincangan mengenai peluasan kerjasama dalam bidang Latihan dan Pendidikan Teknikal serta Vokasional (TVET), khususnya dalam latihan kemahiran sektor pembuatan, pertanian, teknologi digital serta mobiliti pelajar dan pensyarah.
Usaha ini dijangka memperkukuh pembangunan modal insan, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan menyokong pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.
Selain itu, kedua-dua negara turut bersetuju untuk memperluas kerjasama industri halal, termasuk pembangunan rantaian nilai halal, pelaburan dalam produk halal serta usaha bersama meneroka peluang eksport.
Malaysia mengalu-alukan minat Thailand untuk mengembangkan sektor halal secara lebih strategik memandangkan permintaan global yang terus meningkat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


