Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Ahmad Zahid harap cadangan perjawatan KEMAS dimasukkan dalam Belanjawan 2026

Bernama 17/08/2025 | 08:30 MYT
Ahmad Zahid berucap ketika merasmikan Program Santunan Desa KEMAS Negeri Perak Bersama JPKK dan Komuniti KEMAS di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak di sini hari ini. - Foto Bernama
PASIR SALAK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan harapan agar cadangan penyerapan petugas kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) ke jawatan tetap dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2026.


Ringkasan AI
  • Timbalan Perdana Menteri menyatakan harapan agar cadangan penyerapan kira-kira 15,600 petugas kontrak KEMAS ke jawatan tetap dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2026.
  • Cadangan ini sedang dibincangkan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dijangka dibentangkan ke Kabinet dalam masa terdekat.
  • Jika diluluskan, ia boleh menjadi penanda aras untuk jawatan kontrak lain yang berpotensi diserap ke jawatan tetap tanpa berpencen.


Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata cadangan berkenaan kini di peringkat perbincangan dan sekiranya dilaksanakan, ia tidak melibatkan perjawatan baharu atau sebarang perbelanjaan tambahan.

"Jika ini dilaksanakan ia boleh dijadikan sebagai satu penanda aras untuk lain-lain jawatan kontrak yang akan menjadi jawatan tetap tanpa berpencen.

"Kita telah minta supaya secepat mungkin (pelaksanaan rancangan itu), jika ia memberikan faedah dan tidak menimbulkan polemik, sebaik-baiknya dimasukkan di dalam Belanjawan 2026," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan Program Santunan Desa KEMAS Negeri Perak Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Komuniti KEMAS di Dewan Besar Bandar Baru Felcra Seberang Perak.

Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, Pegawai Khas Menteri Besar Perak bagi Dewan Undangan Negeri Kampung Gajah Khairul Azwan Harun yang juga Pengerusi Komuniti KEMAS Parlimen Pasir Salak serta Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man.

Pada 27 Feb lepas, Mohd Hanafiah berkata pihaknya dalam proses membawa cadangan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyerap kira-kira 15,600 petugas kontrak di seluruh negara kepada jawatan tetap.

-- BERNAMA




#Kemas #perjawatan #Ahmad Zahid Hamidi #Belanjawan 2026