Ahmad Zahid seru belia jadi suara keadilan, cahaya keamanan

Ahmad Zahid menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Pembukaan iFUTURE 2025 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Sabtu. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru generasi muda sebagai pemimpin masa depan untuk bangkit dengan keberanian dan keyakinan bagi menjadi suara keadilan dan cahaya keamanan.
Semasa menyampaikan ucapannya pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Antarabangsa (iFUTURE) 2025, Ahmad Zahid menggesa pemimpin muda mendengar, bekerjasama dan bersatu untuk membawa suara mereka yang ditindas.
"...membawa tangisan mereka yang tertindas, yang dilupakan dan yang kehilangan tempat tinggal termasuk saudara kita di Palestin.
"Semoga kita semua hidup untuk menyaksikan, insya-Allah, dunia di mana Palestin bebas. Kami di Malaysia menyokong rakyat Palestin, kami menyokong Global Sumud Flotilla (GSF). Kami menyokong penyokong negara lain," katanya.Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Ahmad Zahid berkata pemimpin sejati bukan sahaja perlu menguasai ilmu tetapi memupuk keikhlasan hati, berkhidmat bukan untuk kemasyhuran tetapi kerana kesetiaan.
"Kepimpinan ialah amanah, amanah suci akal dan budi pekerti. Dunia hari ini tidak memerlukan penceramah yang lebih fasih, tetapi pendengar yang lebih prihatin. Bukan mereka yang menuntut ketaatan, tetapi mereka yang membangkitkan keyakinan.
"Pada pandangan saya, kepimpinan yang hebat tumbuh daripada dua akar yang mendalam, cinta kepada kemanusiaan dan pengabdian kepada keadilan," katanya.
Beliau berkata iFUTURE 2025 mewakili gerakan yang mentakrifkan semula makna kuasa daripada penguasaan kepada perkhidmatan, daripada prestij kepada tanggungjawab dan daripada promosi diri kepada pengorbanan diri.
"iFUTURE bukan tentang siapa yang akan memimpin dunia, tetapi bagaimana dunia harus dipimpin. Dalam masa dunia kita semakin berpecah, sidang kemuncak ini menghimpunkan mereka yang masih percaya kepimpinan adalah amanah bukan keistimewaan," katanya.
Ahmad Zahid turut menyeru belia agar tidak menjadi mangsa teknologi sebaliknya membimbingnya dengan nilai dan menggunakan media sosial untuk bersatu, menyebarkan harapan dan memberitahu kebenaran.
"Dalam dunia diliputi persepsi, ingat, kepimpinan tidak diukur dengan bilangan pengikut tetapi dengan kebenaran yang anda tegakkan. Kemanusiaan mesti mengatasi algoritma, integriti berbanding populariti dan pengetahuan berbanding bunyi bising," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami