MALAYSIA

Ahmad Zahid seru rakyat terus perkukuh perpaduan sempena Deepavali

Bernama 19/10/2025 | 14:30 MYT
Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid turut menzahirkan harapan agar perayaan kali ini membawa kebahagiaan dan kesejahteraan kepada semua yang meraikannya. - Facebook Ahmad Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya terus mengukuhkan perpaduan, memelihara semangat toleransi, hormat-menghormati dan kasih sayang yang menjadi asas kekuatan negara berbilang kaum dan budaya sempena sambutan Deepavali tahun ini.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut menzahirkan harapan agar perayaan kali ini membawa kebahagiaan dan kesejahteraan kepada semua yang meraikannya.

"Saya percaya, seperti cahaya pelita yang menyinari kegelapan, perpaduan rakyat Malaysia akan terus menjadi sinar yang membawa negara ini menuju masa depan yang makmur dan sejahtera. Happy Deepavali. Deepavali Nal Valthukkal," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali 2025 khususnya buat pengundi di kawasan Parlimennya.

Deepavali, yang juga dikenali sebagai Pesta Cahaya, disambut esok oleh masyarakat India beragama Hindu di seluruh negara.

-- BERNAMA

#perpaduan #perayaan #Deepavali #pesta cahaya #Ahmad Zahid Hamidi