Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima kunjungan hormat Menteri Keselamatan Awam Vietnam, To Lam di Bangunan Perdana Putra pada Selasa.

Kunjungan bersama empat delegasi itu merupakan yang pertama sejak To Lam dilantik untuk jawatan itu pada April.

Perjumpaan sekitar satu jam itu membincangkan usahasama dalam membanteras keganasan di mana Vietnam akan menjadi tuan rumah untuk mesyuarat pertama perjanjian kerjasama yang ditandatangani kedua-dua negara pada 2015.

To Lam menyatakan pendirian Vietnam untuk terus memberi kerjasama bagi mengekalkan keselamatan dan keamanan serantau berhubung isu pertikaian wilayah Laut China Selatan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut memaklumkan bahawa Malaysia terus berpegang kepada Deklarasi dan Kod Tatacara (DOC & COC) berhubung isu tersebut.

To Lam sedang dalam rangka lawatan ke negara-negara ASEAN dan akan ke Filipina selepas Malaysia.