MALAYSIA

Ahmad Zahid tiba di Auckland untuk lawatan kerja lima hari ke New Zealand

Bernama 14/07/2025 | 04:10 MYT
Ketibaan Ahmad Zahid disambut Mazita Marzuki serta Grahame Morton. - Foto Facebook/Zahid Hamidi
AUCKLAND: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini hari ini untuk lawatan kerja lima hari ke New Zealand.

Ketibaan Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan (5.30 pagi waktu Malaysia), disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita Marzuki serta Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Asia dan Amerika Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan (MFAT) New Zealand Grahame Morton.

Turut sama menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri ialah Setiausaha Bahagian, Bahagian Asia Selatan dan Asia Tenggara MFAT Joanna Kempkers.

Menerusi hantaran di Facebook, Ahmad Zahid berkata lawatan kerja itu merupakan kesinambungan usaha strategik Malaysia dalam memperkukuh hubungan dua hala bersama New Zealand yang telah terjalin sejak 1957.

Beliau berkata ia juga mencerminkan komitmen bersama dalam meneruskan pertukaran lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara.

"Saya berharap siri lawatan ini akan memperkukuh lagi hubungan diplomatik sedia ada, memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai sektor dan mempromosikan kepentingan nasional Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Insya-Allah, semoga misi ini membawa manfaat kepada rakyat dan negara. Teruskan mengikuti perkembangan lawatan kerja saya dari semasa ke semasa," katanya.

Semasa di Auckland, Ahmad Zahid dijadual mengadakan pertemuan dengan Gabenor Jeneral New Zealand Dame Cindy Kiro, Timbalan Perdana Menteri New Zealand David Seymour, Menteri Luar Negeri New Zealand Winston Peters, Menteri Pembangunan Maori Tama Potaka serta Menteri Pertanian, Perdagangan dan Pelaburan Todd McClay.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) dijadual menyertai Forum Halal anjuran Kementerian Industri Utama New Zealand, serta sesi libat urus bersama peneraju industri dan perniagaan New Zealand selain menyaksikan pemeteraian dokumen kerjasama antara kedua-dua negara dalam pendidikan tinggi.

Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) juga akan melawat Pusat Pengurusan Krisis Kebangsaan, serta ke Sesi Meja Bulat bersama komuniti Maori di Rotorua.

Di samping itu, timbalan perdana menteri juga akan menghadiri majlis ramah mesra bersama komuniti Malaysia di New Zealand, yang dijangka dihadiri 250 rakyat Malaysia yang bermastautin dan menetap di negara itu.

Kali terakhir pemimpin tertinggi Malaysia melawat New Zealand ialah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada Mac 2005 yang merupakan Perdana Menteri ketika itu.

-- BERNAMA







#Ahmad Zahid Hamidi #lawatan kerja #Hubungan dua hala #New Zealand