MALAYSIA
Ahmad Zahid ucap tahniah kepada calon STPM, teruskan usaha lakar kejayaan
Ahmad Zahid mengucapkan tahniah kepada 41,434 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 yang menerima keputusan masing-masing hari ini. -Facebook
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada 41,434 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 yang menerima keputusan masing-masing hari ini.
Ringkasan AI
- Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada 41,434 calon STPM 2024 dan menekankan bahawa keputusan ini bukan penamat, tetapi permulaan kepada lebih banyak peluang.
- Beliau turut menghargai peranan ibu bapa dan guru sebagai penyokong utama kejayaan pelajar, serta mendoakan kejayaan berterusan untuk semua calon.
- Pengerusi MPM mengumumkan bahawa PNGK nasional STPM 2024 ialah 2.85, tertinggi sejak peperiksaan itu dilaksanakan.
Ahmad Zahid berkata walau apa pun keputusan yang diterima, beliau mendoakan yang terbaik untuk semua calon.
"Kalau dapat keputusan cemerlang, Alhamdulillah, teruskan usaha. Kalau belum seperti yang diharapkan, jangan risau. Ini bukan penamat, tapi satu permulaan. Banyak lagi peluang yang akan datang, insya-Allah.
"Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua! Anda telah melakukan yang terbaik. Berbangga dengan anda semua dan semoga terus maju jaya!," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan para guru yang sentiasa menjadi penyokong utama di sebalik kejayaan pelajar.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam sidang media pengumuman keputusan itu hari ini berkata keputusan STPM 2024 mencatatkan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional 2.85, tertinggi sejak peperiksaan itu dilaksanakan.
-- BERNAMA