Ahmad Zahid umum pelaksanaan Strategi Kebangsaan Anti-Rasuah bagi PKS

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjawab pertanyaan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) Bil.1/2025 di Menara Kembar Bank Rakyat hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPUPK) hari ini bersetuju untuk mewujudkan satu inisiatif Strategi Kebangsaan Anti-Rasuah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Ringkasan AI
- MPUPK bersetuju menubuhkan Strategi Kebangsaan Anti-Rasuah PKS bagi meningkatkan kesedaran etika dan integriti dalam kalangan usahawan kecil.
- Pelaksanaan diketuai KUSKOP dengan kerjasama SPRM dan SME Corp, menggunakan teknologi AI bagi memperkukuh kecekapan program serta pemantauan.
- Ahmad Zahid turut menekankan usaha memperkasa usahawan mikro dan mempermudah pensijilan halal bagi meningkatkan sumbangan PMKS terhadap ekonomi negara.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata antara syor dipersetujui untuk diperincikan di bawah pasukan petugas khas tersebut ialah pembentukan satu inisiatif dinamakan Strategi Kebangsaan Anti-Rasuah PKS bagi mendukung kejayaan Strategi Anti-Rasuah Nasional 2024-2028.
Pelaksanaan Pelan Tindakan Strategik Kebangsaan Anti-Rasuah PKS diketuai oleh KUSKOP dan SME Corporation Malaysia serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan sokongan teknikal penuh daripada Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC).
Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut bersetuju penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai platform utama yang membantu PKS mempercepat dan keberkesanan kos pelaksanaan program antirasuah dan aktiviti yang berkaitan selain penyediaan Rangka Perniagaan Strategik.
Beliau berkata menerusi pembentangan Kertas Skim Pembiayaan dan Program Bimbingan Keusahawanan Tahun 2025 Mengikut Negeri, mesyuarat turut dimaklumkan pembiayaan RM7.96 bilion disalurkan kepada 282,489 usahawan dan koperasi di seluruh negara hingga 30 Sept lepas.
"Bagi tempoh sama, sebanyak 121,599 usahawan dan anggota koperasi telah menerima bimbingan keusahawanan melalui pelbagai program yang dilaksanakan oleh agensi di bawah KUSKOP," katanya.
Beliau berkata sebanyak 345 program keusahawanan dan pembangunan PMKS dilaksanakan pada tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM30.31 bilion melalui Pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA) yang memberi manfaat kepada 609,000 penerima.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Suruhanjaya Sekuriti Malaysia memaklumkan 15 daripada 36 inisiatif dalam Pelan Hala Tuju Memangkin Akses Bagi PMKS dan syarikat pertengahan (MTC) ke Pasaran Modal (2024-2028) mencatatkan kadar pelaksanaan sebanyak 42 peratus, melebihi sasaran purata sebanyak 20 peratus setahun, setakat 30 Sept lepas.
"Mesyuarat juga bersetuju Suruhanjaya Sekuriti terus mempromosikan pasaran modal bagi meningkatkan kesedaran dan penyertaan dalam kalangan PMKS serta MTC.
"Ia termasuk menjalin kerjasama strategik bagi meluaskan akses pasaran modal dan mempertingkat penyaluran dana termasuk perkongsian data PMKS dan MTC oleh kementerian dan agensi.
Ketika ditemui pembeirta selepas mesyuarat berkenaan, Ahmad Zahid berkata usaha memperkasakan usahawan perlu dipertingkatkan berikutan 71 peratus daripada 1.089 juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang keusahawanan merupakan usahawan mikro.
Beliau berkata jumlah peralihan usahawan ke tahap tinggi iaitu usahawan mikro kepada kecil dan usahawan kecil kepada sederhana perlu digiatkan supaya jumlah pengeluaran dan perkhidmatan mereka dapat meningkatkan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan nilai eksport.
Menurut beliau, PMKS telah menyumbang RM636 bilion dari segi jumlah eksport dan yakin mampu untuk meningkatkan jumlah lebih tinggi pada masa akan datang.
"Mereka yang terlibat dalam bidang guna tenaga di negara kita daripada PMKS ini adalah 371,000 orang. Ini boleh dipertingkatkan sebab pendekatan kita melalui kursus-kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan juga kursus keusahawanan," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau selaku Pengerusi Majlis Halal Negara akan membawa isu pensijilan halal ke mesyuarat majlis itu supaya mempermudah proses kepada golongan usahawan.
"Ramai usahawan memberitahu agak sukar untuk mendapatkan sijil halal dan kebetulan saya juga mempengerusikan Majlis Halal Negara. Saya akan bawa kepada mesyuarat Majlis Halal Negara supaya terdapat usaha bersama dilakukan oleh agensi atau kementerian berbeza tetapi matlamat mempermudah bukan menyusahkan," katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerima watikah pelantikan Penasihat Khas MPUPK pada mesyuarat yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Ahmad Zahid berkata Wan Rosdi ditugaskan menjadi penghubung antara MPUPK dengan exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab dalam bidang usahawan dan menambah baik pembangunan dalam bidang berkenaan di peringkat nasional dan negeri.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami