MALAYSIA

AI ibarat pisau: Manfaat besar jika digunakan dengan bijak - Pensyarah UPM

Faida Rahim 03/12/2025 | 03:30 MYT
Mohd Mursyid berkata, keperluan memastikan anak muda memperoleh manfaat sewajarnya daripada teknologi ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kecerdasan buatan (AI) diibaratkan seperti pisau, jika digunakan dengan betul, ia mampu memudahkan urusan dan memberi manfaat besar. Namun, jika disalahgunakan, ia boleh membawa kesan buruk.


Ringkasan AI
  • Kecerdasan buatan (AI) seperti pisau, boleh memberi manfaat besar jika digunakan betul, tetapi boleh membawa kesan buruk jika disalahgunakan, menurut Prof Madya Mohd Mursyid Arshad dari UPM.
  • Belia perlu diperkasa dengan kompetensi sistematik agar mampu manfaatkan teknologi AI secara optimum, dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta giat galakkan penglibatan mereka dalam bidang tersebut.
  • Mohd Mursyid mencadangkan pendekatan upskilling, reskilling, cross-skilling, dan multiskilling sebagai penting dalam adaptasi AI, sambil menyentuh fenomena hiper, produktiviti, di kalangan belia Malaysia yang melibatkan kerja sampingan untuk menampung kos sara hidup.


Itulah perumpamaan yang dikemukakan oleh Pengarah Pusat Kokurikulum & Pembangunan Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Mohd Mursyid Arshad, ketika membincangkan kepentingan pemerkasaan belia dalam era teknologi pintar.

“Saya ibaratkan AI seperti pisau. Digunakan dengan cara yang betul, ia memudahkan kehidupan. Tetapi jika disalah guna, ia boleh mencederakan,” katanya dalam program AWANI Pagi, Rabu.

Beliau menegaskan bahawa anak muda perlu diperkasa dengan kompetensi yang sistematik agar mereka dapat memanfaatkan teknologi ini secara optimum.

Menurutnya, pelbagai agensi kerajaan dan swasta kini giat melaksanakan inisiatif untuk menggalakkan penglibatan belia dalam bidang AI.

“Usaha memperkasa belia melalui latihan kompetensi dan bimbingan dalam AI perlu dipertingkatkan, termasuk dari segi peluang dan akses,” tambahnya.

Dalam konteks pembangunan kemahiran, beliau mencadangkan pendekatan seperti upskilling (peningkatan kemahiran), reskilling (latihan semula), cross-skilling (kemahiran silang) dan multiskilling (kemahiran pelbagai) sebagai asas penting dalam adaptasi AI.

Mohd Mursyid turut menyentuh fenomena hiper, produktiviti dalam kalangan belia masa kini, di mana ramai terpaksa melakukan kerja sampingan atau memegang lebih daripada satu pekerjaan untuk menampung kos sara hidup, keadaan yang turut dipacu oleh kemajuan teknologi dan kemunculan AI.

Namun begitu, beliau optimis bahawa belia Malaysia melihat AI sebagai peluang, bukan ancaman, untuk meningkatkan taraf hidup dan kerjaya, dengan syarat mereka diberikan akses kepada latihan, teknologi dan sokongan yang mencukupi.





#kecerdasan buatan #AI #Belia #cross-skilling