[TERKINI] DUN Sabah Dibubar — PRN Ke-17 Bermula! Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

AI mampu jadi pemangkin pemerkasaan melalui kerjasamaa ASEAN-UK

Bernama 06/10/2025 | 15:45 MYT
Dr Kao Kim Hourn semasa berucap dalam ucaptama khas semasa Sidang Kemuncak Inovasi AI ASEAN-UK 2025 pada Isnin. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Kecerdasan buatan (AI) mampu menjadi pemangkin kepada pemerkasaan, keterangkuman dan daya tahan, sekali gus memastikan tiada negara atau komuniti yang tercicir melalui kerjasama antara Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan United Kingdom (UK), kata Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.

Beliau berkata Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) berperanan sebagai pemangkin kepada kerjasama ASEAN-UK dalam membina ekonomi digital yang dipercayai dan dinamik.

Dr Kao menjelaskan bahawa dengan pengguna Internet mewakili lebih 80 peratus daripada populasi ASEAN pada 2023, ekonomi digital rantau ini diunjurkan mencecah US$1 trilion menjelang 2030.

"Tahun ini, ASEAN memberi keutamaan kepada pemuktamadan DEFA bagi membangunkan ekosistem digital serantau, yang berpotensi menggandakan unjuran ekonomi digital kepada US$2 trilion dalam tempoh sama," katanya dalam ucaptama khas semasa Sidang Kemuncak Inovasi AI ASEAN-UK 2025 pada Isnin.

Beliau berkata UK turut menunjukkan kepimpinannya dengan menghimpunkan 28 kerajaan untuk menandatangani "Bletchley Declaration on AI Safety" pada November 2023, serta menubuhkan AI Safety Institute - yang kemudian dinamakan semula sebagai AI Security Institute - badan pertama di dunia yang disokong kerajaan dan menumpukan kepada penilaian AI termaju.

Beliau berkata Dialog ASEAN-UK mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (AUKDSTI) yang baru diwujudkan turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh perkongsian ASEAN-UK.

"Dalam rangka kerjasama sains dan teknologi antara ASEAN dan UK, kita telah mengambil langkah penting pada 2023 dengan menganjurkan Dialog STI (Sains, Teknologi dan Inovasi) sulung

"Dialog dwitahunan ini telah menjadi platform penting bagi kedua-dua rantau untuk terlibat dalam teknologi memuncul, termasuk AI.

"Kita juga telah mengukuhkan Perkongsian UK-ASEAN dalam Teknologi Kesihatan Pintar berasaskan AI, yang menunjukkan bagaimana inovasi mampu meningkatkan kualiti hidup secara langsung.

"Dalam tempoh dua minggu lagi, Jawatankuasa ASEAN mengenai STI (COSTI) akan bertemu sekali lagi dengan pihak berkepentingan STI UK di Bangkok untuk Dialog kali kedua," katanya.

Di ASEAN, AI dijangka menyumbang peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK) antara 10 hingga 18 peratus, bersamaan hampir US$1 trilion menjelang 2030.

"Namun cabaran masih wujud - penyelarasan peraturan antara 10 ekonomi berbeza (dan bakal menjadi 11), merapatkan jurang infrastruktur digital, serta membina kapasiti AI dalam negara anggota kurang maju memerlukan usaha dan sumber yang berterusan," katanya.

Beliau menambah bahawa UK mempunyai kekuatan pelengkap dengan lebih 5,800 syarikat berkaitan AI yang menjana pendapatan GBP23.9 bilion, serta komitmen besar seperti rancangan Microsoft untuk melabur US$30 bilion dalam infrastruktur AI di UK yang diumumkan pada September 2025.

"Pengintegrasian AI dalam perkongsian kita akan menyerlahkan inovasi bersama sebagai hala tuju masa depan - membina kepercayaan, memperkukuh perniagaan dan menjadikan AI pemacu sebenar kepada daya tahan, keterangkuman serta pertumbuhan mampan," katanya.

Sementara itu, Menteri bagi Indo-Pasifik di Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan UK Seema Malhotra berkata ASEAN dan UK boleh melakukan lebih banyak lagi secara bersama.

"UK komited menjadi rakan kongsi yang dipercayai bagi rantau ini. Terdapat banyak peluang dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pembangunan perkongsian komersial yang dapat memperkukuh ekonomi kita," katanya pada sidang kemuncak itu.

Beliau turut menegaskan bahawa teknologi dan digital merupakan tonggak utama dalam Perkongsian Strategik UK-Malaysia yang dipersetujui oleh Perdana Menteri Keir Starmer dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari 2025.

"Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia telah menetapkan agenda yang berani dan menarik, meletakkan inovasi digital dan AI sebagai teras pertumbuhan ASEAN," katanya.

-- BERNAMA


#ASEAN #KDNK #kecerdasan buatan #Microsoft