MALAYSIA
AI perlu dilihat sebagai sebagai pemerkasa industri - Pakar

Negara Selatan Global lebih fokus pada bagaimana AI boleh membantu memperkasakan perniagaan mereka. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kecerdasan buatan (AI) tidak mengubah keseimbangan kuasa global secara serta-merta, namun akses yang semakin meluas terhadap teknologi ini membuka peluang baharu terutamanya bagi negara-negara di Selatan Global.
Pengarah Urusan dan Ketua Pusat Revolusi Industri Keempat WEF, Jeremy Jurgens, memetik Malaysia sebagai contoh positif bagaimana kerajaan boleh memperkasakan rakyat melalui inisiatif celik digital.
Menurutnya, banyak negara Selatan Global tidak bimbang tentang kehilangan pekerjaan, sebaliknya lebih tertumpu kepada bagaimana AI boleh membantu mereka seperti mendapatkan nasihat pemasaran atau membangunkan pelan perniagaan.
"Mereka melihat ini sebagai alat untuk meningkatkan dan memperkasakan mereka, bukannya sebagai ancaman kepada status quo. Oleh itu, saya sebenarnya berpendapat bahawa Selatan Global mempunyai potensi untuk mempercepatkan semua modal insan dan membuka kunci modal insan yang sedia ada."Bagaimanapun, kita masih perlu mengusahakan pendidikan, perkara asas, celik huruf, dan sebagainya. Tetapi dengan teknologi ini, kita sebenarnya akan dapat memberi manusia lebih kuasa, lebih banyak keupayaan," katanya ketika muncul dalam program Agenda AWANI.
Tambahnya, tidak semua negara perlu membina model AI tersendiri atau superkomputer untuk menikmati manfaatnya, seperti mana sesebuah negara boleh mendapat faedah daripada industri penerbangan tanpa perlu menghasilkan pesawat sendiri.
“Sesebuah negara tidak perlu bina kapal terbang sendiri untuk nikmati manfaat penerbangan. Tetapi negara itu perlu ada lapangan terbang, kawalan trafik udara, dan peraturan yang sesuai.
"Prinsip yang sama terpakai kepada AI. Negara boleh meraih manfaat dengan membangunkan ekosistem yang betul; perlindungan data, dasar penggunaan bertanggungjawab, dan penyesuaian kepada norma budaya tempatan," katanya lagi.
Tambahnya, pendekatan ini membolehkan negara membangun memanfaatkan potensi AI tanpa perlu membuat pelaburan besar dalam infrastruktur teknologi yang kompleks dan mahal.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami