KUALA LUMPUR: Institusi pendidikan tinggi perlu mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) merentasi semua bidang pengajian termasuk kemanusiaan bagi memastikan kurikulum kekal relevan dengan perkembangan teknologi, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata AI kini bukan lagi sekadar alat, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran yang perlu diterapkan dalam kurikulum pendidikan tinggi.
“AI bukan lagi menjadi satu alat tetapi menjadi sebahagian daripada semua proses. Sebab itulah kita menggunakan istilah embed, iaitu dalam semua kaedah pembelajaran, kurikulum dan sebagainya,” katanya.
Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Makmal AI Supercomputing berkuasakan NVIDIA DGX Spark di Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), di sini hari ini.
Beliau berkata penggunaan AI tidak seharusnya tertumpu kepada bidang teknikal, malah boleh diterapkan dalam bidang lain seperti hubungan antarabangsa dan pengurusan.
“Saya sangat tertarik dengan keupayaan untuk mengintegrasikan teknologi ini dalam pengajian kemanusiaan. Ketika diberi taklimat tadi, termasuk dalam kursus Hubungan Antarabangsa, saya lihat bagaimana teknologi digunakan sebagai sebahagian daripada pendekatan pengajaran,” katanya.
Zambry turut menzahirkan rasa bangga terhadap perkembangan dan pencapaian APU, khususnya usaha universiti itu mengintegrasikan teknologi dalam pelbagai bidang pengajian serta menarik pelajar dari 120 negara.
Beliau berkata perkembangan teknologi yang pesat turut menuntut institusi pendidikan tinggi menilai semula pendekatan pengajaran dan kurikulum bagi menyediakan pelajar menghadapi perubahan dalam dunia pekerjaan.
Dalam pada itu, Zambry berkata penggunaan AI dalam pendidikan perlu dilaksanakan secara seimbang dan tidak sehingga menjejaskan keupayaan pelajar untuk berfikir secara kritikal, menulis serta membentuk pemikiran sendiri.
“Penggunaan AI dalam kehidupan seharian termasuk sebagai alat pembelajaran adalah sesuatu yang baik, namun perlu digunakan secara seimbang dan tidak sehingga ‘menggerhanakan’ keupayaan pelajar berfikir secara kritikal, menulis serta membentuk pemikiran sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif APU Datuk Parmjit Singh berkata penubuhan Makmal Superpengkomputeran AI itu selaras dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Malaysia bergerak melangkaui sekadar menjadi pengguna AI dan membangunkan keupayaan sendiri untuk bersaing dalam ekonomi digital global.
“Literasi AI pada masa kini perlu melangkaui sekadar mengetahui cara menggunakan alat pengkomputeran yang ada. Dengan meletakkan kuasa superpengkomputeran AI terus ke tangan pelajar, kami memberi tumpuan kepada empat matlamat utama, iaitu memperluas akses, membangunkan bakat AI Malaysia, memperkukuh keupayaan AI berdaulat serta membolehkan pelajar beralih daripada sekadar menggunakan AI kepada menjadi pencipta AI dengan matlamat,” katanya.
-- BERNAMA