MALAYSIA
AI teras pembangunan modal insan, daya saing negara - PM Anwar

Perdana Menteri berkata keupayaan negara untuk menguasai kemahiran atau teknologi baharu ialah kunci kepada kemampuan Malaysia dalam menghadapi transformasi digital global. - Foto BERNAMA
PETALING JAYA: Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menjadi teras kepada pembangunan modal insan dan daya saing negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tekankan kepentingan AI dan 5G untuk masa depan pekerjaan serta daya saing negara.
- AI dan transformasi digital dilihat sebagai penyelesaian jurang teknologi antara bandar, desa dan pedalaman.
- Anwar ingatkan teknologi sahaja tidak cukup tanpa usaha melatih rakyat dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
"Anak-anak kita tidak akan mendapat ruang pekerjaan yang lebih baik jika negara tidak mampu mengangkat kemahiran, kepintaran dan keterampilan mereka," kata beliau ketika berucap melancarkan program CD:NXT yang dikelolakan oleh CelcomDigi Bhd di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi.
Perdana Menteri berkata AI dan transformasi digital juga ialah jawapan kepada jurang teknologi berkenaan dalam kalangan rakyat Malaysia.
"AI dan transformasi digital harus menyelesaikan sebahagian daripada masalah yang disebut digital divide atau kesenjangan antara kelompok yang bernasib baik di bandar dengan kelompok miskin bandar serta desa dan pedalaman," katanya.
Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan bahawa pengalaman lepas membuktikan bahawa penggunaan komputer dan teknologi baharu tidak semestinya menjamin lonjakan produktiviti tanpa usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
"Hal ini memaksa kita berfikir bagaimana kita boleh mengangkat keupayaan rakyat? Melatih mereka dan menyediakan inovasi supaya benar-benar memberikan kesan kepada pembangunan negara," katanya.
CD:NXT ialah inisiatif oleh CelcomDigi untuk membangunkan bakat masa depan negara selaras dengan aspirasi Malaysia menjadi ekonomi yang dipacu oleh teknologi 5G dan AI.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami