MALAYSIA

Aidiladha: 120,000 kenderaan dijangka menggunakan Plaza Tol Gombak

Ernalisa Othman 06/06/2025 | 12:43 MYT
Sebanyak 120,000 kenderaan dijangka menggunakan laluan di Plaza Tol Gombak sepanjang hari ini sehingga jam 12 tengah malam nanti. - Astro AWANI
GOMBAK: Sebanyak 120,000 kenderaan dijangka menggunakan laluan di Plaza Tol Gombak sepanjang hari ini sehingga jam 12 tengah malam nanti.


Ringkasan AI
  • Sebanyak 120,000 kenderaan dijangka melalui Plaza Tol Gombak hari ini dengan peningkatan ketara antara 8 malam hingga 10 malam.
  • Pengguna bandar lebih memilih laluan RFID dan SmartTAG, tetapi kesesakan tetap dijangka di semua lorong semasa musim perayaan.
  • Pengguna dinasihatkan merancang perjalanan awal, ikut jadual TTA dan pastikan baki Touch n Go mencukupi.


Pengurus Operasi Tol Afa Prime Berhad Mohamed Nizom Mohamed Nor berkata, pertambahan itu ekoran ada dalam kalangan pengguna yang memilih pulang ke kampung di saat-saat akhir.

"Pihak Afa Prime juga menjangkakan 20 hingga 30 peratus pertambahan kenderaan yang akan memalui Plaza Tol Gombak menjelang 8 malam ini sehinggalah selewat-lewatnya 10 malam nanti.

"Gelombang kedua itu bagaimanapun bergantung juga kepada keadaan cuaca," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Plaza Tol Gombak di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu Nizom berkata, pihaknnya turut menjangkakan terdapat dua hingga tiga peratus pertambahan kenderaan yang akan menggunakan laluan di Pengecaman Frekuensi Radio (RFID).

"Perkara ini memang sudah menjadi sinonim bagi warga bandar yang mana mereka lebih gemar memilih dua laluan iaitu RFID dan Smart tag memandangkan ianya lebih mudah dan cepat.

"Bagaimanapun kita juga tidak boleh menolak kemungkinan semua laluan yang ada disini (plaza tol) akan mengalami kesesakan setiap kali musim perayaan," jelasnya.

Dalam masa sama, beliau juga mengingatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan lebih awal menerusi jadual perjalanan digital yang disediakan pihak berwajib.

Beliau turut menyarankan pengguna lebuh raya agar mematuhi Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi mengurangkan kesesakan atau tempoh perjalanan lebih panjang.

"Kita nasihatkan pengguna agar supaya bersedia mental dan fizikal agar semak laluan dan perjalanan lebih awal supaya perjalanan lebih terancang.

"Selain itu saya juga nasihatkan semua pengguna memastikan Touch 'n Go anda mempunyai baki yang mencukupi untuk memudahkan perjalanan masing-masing," katanya lagi.

#kenderaan #Aidiladha #Plaza Tol Gombak #lebuh raya