KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu pada Rabu mengumumkan pemberian insentif RM100 kepada penternak ruminan tradisional dan berskala kecil sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri Azman Ibrahim berkata insentif itu akan membantu meringankan beban kira-kira 1,000 penternak di seluruh negeri yang terkesan dengan kenaikan harga makanan ternakan sejak akhir-akhir ini.

"Ia juga tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap rungutan penternak berkaitan isu kutipan fi kebenaran atau permit sembelih luar daripada rumah sembelihan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu untuk ternakan bagi tujuan korban atau aqiqah pada Aidiladha nanti," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata kutipan fi sebanyak RM35 bagi kebenaran atau permit sembelih luar daripada rumah sembelihan, telah diwartakan di seluruh negara sejak tahun 2009 di bawah seksyen 82 Akta Binatang 1953 [Akta 647 (Penetapan Pusat Veterinar dan Fi Bagi Perkhidmatan Lain)].

"Cuma dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lepas, kerajaan negeri memberi pertimbangan untuk tidak menguatkuasakannya setelah mengambil kira situasi yang sedang dilalui oleh rakyat.

"Prosedur ini ditetapkan dalam usaha memastikan ternakan yang disembelih bebas daripada sebarang penyakit serta menjamin keselamatan daging sembelihan," katanya.

-- BERNAMA