[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Aidilfitri: 4 lokasi utama tumpuan kelengkapan raya di Ipoh, kini tinggal memori

Aida Aziz 29/03/2025 | 23:30 MYT
Super Kinta, salah satu lokasi terkenal yang menjadi tumpuan pada musim perayaan pada tahun 90-an, sehingga ia kini tinggal kenangan. - Foto ihsan Shamsul Khairul Anuar
IPOH: Lain hulu lain parang, lain dulu lain sekarang.
Itu peribahasa tepat bagi menggambarkan suasana menyambut kedatangan Syawal yang jauh berbeza berbanding dahulu.
Kenangan membeli belah dan mencari kelengkapan Aidilfitri di beberapa pasar raya dan bazar terkenal di bandar raya Ipoh, masih kekal dalam ingatan salah seorang anak jati Ipoh ini.
Bagaimanapun, menurut Shamsul Khairul Anuar, 40 tahun, semua itu kini hanya tinggal kenangan memandangkan ramai yang beralih kepada pembelian dalam talian.
Shamsul yang menetap di Gunung Rapat, di sini, berkata, terdapat empat lokasi terkenal yang menjadi tumpuan pada tahun 90-an sehinggalah ia tinggal kenangan.
Antaranya, Super Kinta yang terletak di Pasar Besar Ipoh, Greentown Mall (kini dikenali Angsana Mall), Medan Kidd serta Megoplex.
Super Kinta.
"Super Kinta merupakan pasar raya terawal yang wujud di Perak dan ia menjadi tumpuan kerana berada di tengah-tengah pekan Ipoh.
"Suasana ketika itu meriah dengan pelbagai jualan seperti baju Melayu, baju kurung serta kuih raya.
"Lebih-lebih lagi ia terletak di Pasar Besar Ipoh, sesak dengan orang ramai yang mahu beli barangan basah seperti santan, ayam segar dan sebagainya.
"Super Kinta sekarang sudah diubah fungsinya menjadi Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ipoh," katanya.
Medan Kidd. - Foto ihsan Shamsul Khairul Anuar
Selain itu katanya, Medan Kidd juga pernah jadi tumpuan ramai kerana wujud bazar dan jualan berdekatan bulatan di stesen bas tersebut.
"Penduduk sering mendapatkan pakaian raya di situ khususnya songkok. Ketika itu Medan Kidd masih sibuk dengan perkhidmatan bas ekspres sebelum ia berpindah ke Terminal Amanjaya, Meru Raya," katanya.
Selain itu, katanya Greentown Mall atau Angsana Mall masih wujud sekarang, namun boleh dilihat tidak ramai seperti dahulu.
"Kalau masuk Ramadan atau dekat hari raya boleh nampak bahagian jualan pakaian atau bazar di situ sangat sibuk dengan pengunjung, tetapi sekarang tidak lagi.
"Walaupun ada yang mencari kelengkapan raya di situ, namun kemeriahannya boleh kata sudah kurang," katanya lagi.
Megoplex yang terletak di Medan Gopeng juga sangat sinonim dengan orang Ipoh.
Megoplex. Foto ihsan Shamsul Khairul Anuar
Sebelum ditutup beberapa tahun lalu dan kebanyakan peniaga dipindahkan ke Silveritage yang terletak berhampiran, ia memang lokasi utama untuk membeli belah.
"Orang Ipoh mesti ada memori di Megoplex ini kerana dahulunya ia sentiasa dipenuhi orang ramai, tidak kira musim perayaan atau hari biasa.
"Bila hari raya, akan ada khemah tambahan dibuka di sekitar Megoplex untuk orang ramai beli pakaian dan kuih raya," katanya.
Greentown Mall. - Foto ihsan Shamsul Khairul Anuar
Apa pun, manusia tidak dapat mengelak dari peredaran zaman dan kecanggihan teknologi.
Ia sedikit sebanyak merencatkan perniagaan yang dahulunya gah dengan kehadiran orang ramai, namun kini mereka terpaksa memikirkan alternatif lain untuk bersaing sama seperti di platform jualan dalam talian.
Bagi orang ramai yang memilih untuk membeli kelengkapan raya dalam talian pula, mereka pasti ada alasan tersendiri, selain kekangan masa bagi yang sibuk bekerja.
Termasuk kos lebih murah dan dengan hanya satu klik menerusi telefon pintar, barang yang ditempah akan dihantar terus ke depan pintu rumah.
#Aidilfitri #peniaga #Ipoh #musim perayaan #Ramadan2025 #CeritaRamadan2025