NATIONAL
Aidilfitri: Kutipan sampah meningkat lebih dua kali ganda di Kelantan

Hilmi (kiri) baru-baru ini menyempurnakan majlis penyampaian Sumbangan Kasih kepada golongan asnaf dan anak yatim pada program Madinah Ramadan Kelantan di Kota Bharu. - Foto Facebook Hilmi
KOTA BHARU: Jumlah kutipan sampah di Kelantan mencatatkan peningkatan lebih dua kali ganda sepanjang musim perayaan Aidilfitri berbanding hari biasa, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Hilmi Abdullah.
Beliau berkata secara purata 200 tan metrik sampah dikutip setiap hari sebelum ini, namun angka itu meningkat kepada 400 tan metrik sehari sepanjang perayaan berkenaan.
"Jadual pungutan sampah diteruskan seperti biasa, namun jumlah pembuangan sampah meningkat disebabkan kebanjiran perantau yang pulang ke kampung dan acara rumah terbuka yang diadakan orang ramai," katanya ketika dihubungi semalam.
Hilmi juga memaklumkan waktu operasi tapak pelupusan sampah dilanjutkan sehingga pagi bagi memenuhi keperluan itu."Antara tapak pelupusan sampah yang terlibat adalah di Beris Lalang, Pasir Puteh, Ketereh, Tanah Merah dan Tumpat," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa peningkatan sampah dilihat lebih ketara di bandar utama, sementara di daerah lain jumlahnya agak rendah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami