KUALA LUMPUR: Masuk hari kelapan meraikan Hari Raya Aidilfitri, sudah tentu dapat mengubati kerinduan apabila bertemu sanak saudara.
Ziarah dari rumah ke rumah menjadi amalan harian sepanjang sebulan Syawal diraikan.
Namun begitu, tidak semua orang dapat meraikan hari raya kali ini bersama insan yang mereka sayangi. Memang lain suasananya bagi ahli keluarga yang kehilangan ayah, ibu serta adik beradik mereka akibat COVID-19.
Hanya doa dapat dititipkan agar kerinduan yang menebal dalam diri itu terubat.
Kami ke pusara COVID-19 di Pusat Perkuburan Raudhatul Sakinah di Gombak baru-baru ini bagi mendekati insan yang menziarahi pusara ahli keluarga.
Sepanjang pemerhatian penulis, terlihat seorang ibu bersama tiga anaknya sedang berteduh di bawah pondok berhampiran salah satu pusara.
Kelihatan insan ini termenung, tatkala memandang pusara yang berada kira-kira 50 meter darinya.
Penulis mendekatinya, Nurzawani Kamarudin, 35, ibu tunggal kepada tiga anak ini kehilangan ibunya dua bulan lalu akibat COVID-19.
Arwah ibunya menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang sudah sekian lama.
Setiap hari Nurzawani menjaga ibu bapanya serta tiga anaknya yang menjadi penguat semangat buatnya.
Ibu disahkan positif COVID-19
Segalanya berubah pada Mac lalu, apabila ibunya disahkan positif COVID-19 selepas menjalani rawatan di sebuah pusat dialisis.
"(Arwah) Dia dibawa ke hospital dari tempat dialisis, kami dapat tahu pun apabila pihak dialisis telefon, kata mak dah dihantar ke Hospital Sultan Mizan di Wangsa Maju.
"Masa itu memang mak dah lemah sangat, lepas tu bila sampai ke Hospital Sultan Mizan, 15 minit selepas itu doktor beritahu dia positif COVID-19. Tapi doktor tidak fokus kepada itu, lebih fokus dekat otak dia sebab dah bleeding di otak kiri," imbasnya menceritakan detik itu.
Hanya 10 minit selepas itu, jelas Nurzawani, doktor mengesahkan ibunya sudah koma akibat pendarahan di otak.
"Doktor suruh saya isi borang saya pun keluar sekejap, masuk balik dia dah koma.
"Masa saya nak keluar (isi borang) itu (saya tengok) mak macam pening-pening (akibat darah tinggi). Bila dah (disahkan) koma di Hospital Sultan Mizan itu, dia dihantar pula ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk scan otak.
"Doktor di HKL pun kata otak belah kiri dah ada pendarahan dan belah kanan dah ada tompok darah. Memang peratus untuk dia selamat memang tiada. Dia ada penyakit tiga serangkai dalam 40 tahun," katanya lagi.
Tidak dapat iringi perjalanan terakhir ibu
Tarikh 9 Mac 2022 jelas Nurzawani lagi, adalah kali terakhir dia dapat melihat ibunya sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian.
Lebih memilukan adalah apabila dia tidak dapat menemani perjalanan terakhir ibunya ke liang lahad susulan proses pengebumian dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
"Sebab tak dapat mandikan, berapa orang sahaja boleh masuk. Sedihlah, sebab last sekali tidak dapat prepare untuk dia. Kami anak permpuan tiga orang, seorang pun tak boleh buat apa-apa. Pengecaman mayat pun anak lelaki yang buat.
"Last tengok di HKL, kami tak dapat jaga, sehari sebelum dia pergi sempat video call, esoknya itu hari Khamis doktor call kata dia dah nazak minta datang ke hospital.
"Tapi kami masih tak boleh jenguk, hanya uruskan pengebumiannya," katanya lagi.
Redha meskipun perit
Hanya dibenarkan berdiri dari suatu jarak dari liang lahad, itulah detik yang tidak dapat dilupakan Nurzawani sekeluarga, apabila melihat arwah ibunda tercinta diturunkan ke tanah dan dikebumikan.
Redha dengan ketentuan ilahi, pesanan arwah ibu tidak pernah dilupakan Nurzawani.
"Dia ingatkan sebab saya ibu tunggal dia suruh jaga anak-anak dan adik-beradik, rapatkanlah silaturahim macam dulu. Itu saja.
"Itu mungkin rezeki saya dapat jaga dia dengan status saya, kalau saya ada pasangan mungkin tak ada peluang dapat macam ni.
"Kena redha... iyalah sebab dia dah sakit lama. Kat situ dah redha, memang payah nak terima tapi elok bagi dia," ujar Nurzawani lagi yang tidak dapat menahan air matanya dari menitis.
Syawal pun kini sudah menyapa, dan tahun ini buat kali pertama Aidilfitri disambut tanpa insan yang amat disayanginya itu.
Perginya ibu lapan bulan lalu
Selesai mendalami kisah Nurzawani, penulis terlihat pula seorang lelaki sedang berjalan ke arah sebuah pusara.
Persiapannya cukup rapi, dengan memakai but kerana keadaan tanah perkuburan yang berlumpur akibat hujan lebat sebelah malam, serta bunga mawar yang turut dibawanya untuk ditabur di pusara.
Ketika mendekatinya, insan bernama Mohd Taufeq Mohd Tariq, 39, ini memberi kebenaran buat penulis untuk mendengar ceritanya.
Ibunya meninggal dunia lebih lapan bulan lalu akibat COVID-19, selepas bertarung nyawa hampir dua minggu di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Kalau ikutkan tarikh meninggalnya, pada 19 Ogos 2021, baru nak dekat lapan bulan lebih.
"Dia (arwah ibu) sebenarnya selepas mengambil dos kedua, antibodi dia drop lepas itu dalam tempoh dua minggu tu dia mula tunjukkan simptom dan collapsed.
"Pada 7 Ogos, keluarganya menghantarnya ke HKL. Sesampai sahaja, dia dimasukkan ke wad COVID-19 dan dipasang ventilator," jelas Mohd Taufeq.
Sejak itu, setiap hari beliau dan ahli keluarga yang lain hanya mampu mendapatkan informasi mengenai kesihatan ibunya daripada jururawat yang bertugas.
Niat tunai umrah tidak kesampaian
Genap 12 hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) HKL akibat dijangkiti COVID-19, arwah ibunya pergi menyahut panggilan Ilahi.
"Kali terakhir (saya lihat ibu) masa dia ditolak ke dalam ambulans pada 7 Ogos itu, masa itu dia separuh sedar, mata dia masih terbuka. Kita bercakap dengan dia agar cepat sembuh.
"Niat arwah ini nak pergi umrah, sebab itu dia ambil dos kedua seperti disarankan pihak kerajaan Arab Saudi apabila buka sempadan.
"Dia nak berdaftar dah tapi tak mengizinkan, dia pergi dulu. Niat dia memang nak pergi umrah dengan ayah saya," jelasnya lagi.
Tambah Mohd Taufeq, dia tidak akan pernah melupakan detik terakhir saat memegang tangan arwah ibunya sebelum dimasukkan ke HKL.
Meskipun detik itu hanya seketika, namun itulah perbualannya kali terakhir bersama arwah.
"Kali terakhir saya pegang tangan dia, saya bercakap dengan dia, dia ada bagi reaction... air matanya mengalir. Dia dengar tapi saya faham dia sebenar dalam keadaan nazak ketika itu," katanya lagi.
Tiada lagi ketupat palas ibu
Syawal kali ini tentunya amat sayu buat Mohd Taufeq, apabila tiada lagi insan yang tidak pernah lupa memasak juadah kegemarannya iaitu ketupat palas setiap kali menyambut Aidilfitri.
"Bagi orang yang melaluinya, ada juga trauma. Tapi mungkin itu yang terbaik untuk arwah, kalau dia hidup pun kita tak tahu apa kesakitan yang dia tanggung.
"Betul... raya pertama tanpa arwah, memang terasalah. Kalau biasa pagi-pagi raya, arwah dah call 'jangan lupa ambil ni (ketupat palas), mama dah masak'. Anak saya pun cucu kesayangan dia.
"Dia kata 'jangan lupa ambil ni (ketupat palas) bagi Uwais (cucu).. mesti suka ni nenek masak'. Kata-kata itu terngiang-ngiang cuma sekarang dia sudah jadi memori indah," katanya dalam nada sebak.
Menerima takdir Yang Maha Esa dengan seikhlasnya, bagi Mohd Taufeq, ketika ini ayahnya menjadi penguat semangat buat dirinya dan keluarga.
Ayah sumber kekuatan
Meskipun pada awalnya, ayah Mohd Taufeq sukar menerima kenyataan tentang pemergian pasangannya ke negara abadi, lama-kelamaan dia mulai faham dan redha dengan ketentuan Ilahi.
"Kami masih ada seorang ayah. Itu kita selalu tengok keadaannya macam mana. Ayah mula-mula tak boleh terima tapi persekitaran itu buat dia faham.
"Keluarga kerap datang tengok dia dan dia mula ada kekuatan sendiri. Kekuatan itu sebenarnya ada dalam diri sendiri. Kita pun teringat kata-kata arwah (ibu).... kalau dirinya sudah tiada jangan lupakan dia (ayah), ingatkan dia.
"Kami masih ada ayah... jadi itulah sumber kekuatan kami adik-beradik semua. Adik-beradik pun ada empat orang saja, jadi itu salah satu kekuatan daripada apa yang dikatakan arwah sebelum dia meninggal dunia," ujarnya.
Pesanan Mohd Taufeq kepada kita semua hanya satu... ketika masih ada masa dan peluang, bahagiakanlah ibu dan bapa.
Sekiranya sudah tiada, kerinduan yang dialami jelasnya amat mendalam dan hanya doa dapat mengiringi kerinduan yang tiada penghujungnya itu.
"(Selagi) mereka ada, bahagiakanlah mereka dan kita berharapkan keadaan yang baik di sana," jelasnya lagi.
Fareez Azman
Mon May 09 2022
Pusat Perkuburan Raudhatul Sakinah di Gombak antara pusara COVID-19 dibawah kendalian Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). - Astro AWANI
Gempa bumi dengan magnitud 6.1 gegarkan Kepulauan Tonga - GFZ
Satu gempa bumi dengan magnitud 6.1 menggegarkan Kepulauan Tonga pada pukul 1503 GMT, Ahad.
Menjelajah bawah tanah untuk 'shopping' Krismas
Musim perayaan hujung tahun tidak dinafikan menjadi musim yang paling mengujakan buat penduduk dunia. Manakan tidak, ada pelbagai acara, persembahan, hiasan berwarna warni, serta pengalaman beli-belah istimewa menanti peminat 'kaki shopping'. Di Jerman misalnya, tampil dengan kelainan tersendiri...iaitu? bazaar Krismas bawah tanah.
Pemandu Mercedez terbakar, juga suspek langgar lari motorsikal
Pemandu kereta Mercedez Benz 45 yang terbakar di tol Wangsa Maju pada petang Ahad juga merupakan dalang kepada insiden langgar lari sebuah motorsikal di Lebuhraya SPE dan telah dikenal pasti pihak polis. Perkara itu seperti yang disahkan oleh kakak mangsa Syahrizah Saini ketika dihubungi Astro AWANI yang turut memaklumkan bahawa adiknya kini dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Lumpur.
Presiden Yoon ingkar perintah hadir, pendakwaan akan kemuka perintah kedua
Pendakwa Raya Korea Selatan mengesahkan bahawa Presiden Yoon Suk Yeol gagal mematuhi perintah hadir yang dikeluarkan pada Ahad, sambil menambah bahawa satu lagi perintah akan dihantar tidak lama lagi.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 15 Disember 2024.
Tumpuan Isnin – 16 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
Tiga lagi suspek kes bunuh lelaki di pangsapuri direman
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi ketika mengesahkan penahanan tersebut berkata, kesemua suspek rakyat tempatan, berusia antara 32 hingga 48 tahun dan ditangkap di lokasi berbeza. #AWANInews
Lima anggota 'Bali Nine' sudah kembali ke Australia
Lima anggota 'Bali Nine' yang menjalani hukuman pemenjaraan seumur hidup di Indonesia sudah dipindahkan ke negara asal mereka, Australia. Perkara itu seperti yang disahkan Perdana Menteri Anthony Albanese yang memaklumkan lima warganya itu yang diberkas pihak berkuasa dalam kegiatan penyeludupan dadah di pulau peranginan terkenal, Bali pada April 2005.
Lima maut, puluhan migran hilang di Pulau Gavdos
Lima individu terkorban dalam kejadian bot migran yang terbalik di perairan Greece awal pagi Sabtu. Menurut Kementerian Luar Pakistan pada Ahad, 47 warganya dapat diselamatkan dalam tragedi yang berlaku berhampiran Pulau Gavdos di selatan Crete itu.
Parti pemerintah Korea tolak cadangan badan perundingan
Ketua Whip Parti Kuasa Rakyat Korea Selatan, Kweon Seong-dong, pada Ahad menegaskan bahawa parti pemerintah telah menolak cadangan parti pembangkang utama untuk menubuhkan badan perundingan bagi menstabilkan pentadbiran negara
Rusia dijangka campur tangan pertahan pemerintahan Bashar Al-Assad
Rusia dijangka masuk campur seterusnya mempertahankan pemerintahan presiden, Bashar Al-Assad selepas kumpulan pembebas merampas bandar bandar utama lain daripada cengkamannya.
Banjir: Selaras bank tawar moratorium kepada peminjam terjejas - Ahmad Fadhli
Kementerian Kewangan dicadang menyelaraskan moratorium semua institusi perbankan yang menawarkan kemudahan itu kepada peminjam yang terjejas akibat banjir.
Gaji bakat dalam industri digital diunjur stabil pada 7.19 peratus tahun ini - PIKOM
Pertumbuhan gaji bakat dalam industri digital di Malaysia diunjur stabil, masing-masing pada 7.19 peratus tahun ini dan 7.12 peratus pada 2025, kata Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia.
Jepun catat peningkatan kes pneumonia mycoplasma
Jepun mencatat peningkatan kes pneumonia mycoplasma, dengan purata 2.84 pesakit dilaporkan bagi setiap institusi perubatan di seluruh negara untuk minggu yang berakhir pada 17 Nov.
Dasar ekonomi Trump boleh tambah RM19.7 bilion kepada KDNK Malaysia - Juwai IQI
Dasar ekonomi Donald Trump dijangka memberi kesan besar ke atas ekonomi Malaysia, dengan unjuran menunjukkan cara Presiden AS itu boleh menyumbang RM19.7 bilion kepada KDNK negara.
Jabatan Kesihatan Kelantan rekod tiga kematian akibat denggi
Sebanyak tiga kematian direkodkan akibat demam denggi di Kelantan setakat 9 Nov lepas, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin.
Pertumbuhan ASEAN diunjur kukuh pada 4.6 peratus - IMF
Pertumbuhan bagi negara anggota ASEAN diunjur pada 4.6 peratus pada 2024 dan pada 4.7 peratus pada 2025, sebahagian besarnya disokong oleh permintaan domestik dan eksport yang kukuh.
IATA gesa Thailand perkukuh sektor penerbangan
Potensi penerbangan Thailand adalah menggalakkan dengan jumlah penumpang dijangka mencatat kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 3.88 peratus dari 2024 hingga 2043.
Wanita kreatif hasilkan seni bingkai pokok duit, kebaya dan ranting
Minat atau hobi terhadap bidang seni boleh membuahkan karya yang bukan sahaja unik serta menakjubkan tetapi juga boleh menjadi sumber kewangan.
Mahkamah arah Qantas bayar pampasan kepada 1,700 pekerja yang dipecat secara tidak sah
Syarikat penerbangan terbesar Australia, Qantas, diperintahkan membayar pampasan yang besar kepada 1,700 pekerja yang dipecat secara tidak sah semasa pandemik COVID-19.