KUALA LUMPUR: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah membuat bayaran balik pinjaman kerajaan sebanyak RM214,867,103.50 kepada Kementerian Kewangan sebagai pembayaran balik sebahagian daripada pinjaman yang diperoleh oleh AIM sejak tahun 1998 daripada kerajaan berjumlah RM857.97 juta.

Pengerusi Lembaga AIM Datuk Seri Lajim Ukin berkata, bayaran balik sebahagian daripada pinjaman itu telah dibuat secara berperingkat.

Jelasnya, AIM telah membayar RM20 juta bermula pada tahun 2011, diikuti 2012 (RM45,367,102.50); 2013 (RM10 juta); 2015 (RM2 juta); 2016 (RM7 juta); 2017 (RM8 juta); 2019 (RM 14.5 juta); dan pembayaran terkini pada Februari 2021 berjumlah RM100 juta.

"Pinjaman daripada kerajaan yang dibuat adalah sebahagian usaha AIM memberi pinjaman mikro kepada golongan B40 khususnya golongan wanita untuk dijadikan sebagai modal awal mereka memulakan perniagaan.

"Usaha AIM telah membuahkan hasil apabila sehingga 2021 sebanyak 939,754 peminjam AIM yang dikenali sebagai Sahabat telah mendapat manfaat.

"Ia menjadikan keseluruhan jumlah jangkauan rakyat Malaysia yang menerima kebaikan daripada usaha AIM membasmi kemiskinan ialah sebanyak 3,759,016," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Untuk rekod AIM secara keseluruhan telah menerima pinjaman daripada kerajaan sebanyak RM857.97 juta yang terdiri daripada lapan peringkat pinjaman bermula dari tahun 1996 hingga tahun 2011.

Dalam pada itu kata Lajim, pinjaman pertama dibuat pada 10 Oktober 1996 berjumlah RM101,468,410.00 bagi membiayaai Skim Pembiayaan Ikhtiar.

"Pada 21 Disember 1998, AIM menerima pinjaman kali kedua sebanyak RM100 juta bagi membiayai skim yang sama.

"Ia kemudiannya diikuti pada tahun 2006 hingga 2008, dengan jumlah sebanyak RM371.5 juta, (RM171.5 juta diterima pada tahun 2006), RM100 juta masing-masing pada tahun 2007 dan 2008.

"Pada tahun 2010 pula, AIM telah menerima pinjaman sebanyak RM165 juta bagi membiayai program SPI (RM123 juta) dan Program Mikrobandar (RM42 juta)," ujarnya.

Katanya lagi, kali terakhir AIM menerima pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan adalah pada tahun 2011 iaitu pada 21 Jun 2011 dan 27 Disember 2011 masing-masing sebanyak RM60 juta bagi melaksanakan Program Pembiayaan Ikhtiar.