Ainul Mardhiah kembali sedar, tidak lagi menggunakan alat bantuan pernafasan

Hilmi Malik
Ogos 13, 2022 07:05 MYT
Ainul Mardhiah juga tidak lagi menerima ubat tahan sakit dan ubat tidur sebaik sahaja kembali sedar.
KUALA LUMPUR : Ini merupakan berita gembira buat mereka yang mengikuti perkembangan kesihatan kanak-kanak yang menjadi perhatian negara, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin apabila dia dikatakan tidak lagi menggunakan alat bantuan pernafasan.
Sebaliknya, kanak-kanak itu kini hanya menggunakan oksigen biasa serta tidak lagi menerima ubat tahan sakit.
Perkara itu dikongsikan ibunya, Nurul Erwani Zaidi menerusi hantarannya di Instagram pada Sabtu.
“PICU maklumkan, katanya hari ini dah boleh jaga Ainul semula sebab Ainul dah guna oksigen biasa. Ventilator dah off (dipadamkan), ubat tidur dan tahan sakit pun dah off.
“Ainul dah sedar,” katanya menerusi hantaran ringkas itu.
Sebelum ini, bapanya Ahmad Safiuddin memaklumkan, anaknya itu terpaksa ditidurkan semula selain memerlukan alat bantuan pernafasan bagi mengawal sawan, serta merehatkan otaknya.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak pernah sesekali mematahkan semangat keluarga itu untuk melihat anaknya terus sembuh.
Sebelum ini, Ainul mendapat perhatian ramai pihak termasuk Dr Nur Amalina Che Bakri yang membantunya menjalani pembedahan di London, United Kingdom pada 2019 akibat ketumbuhan dalam mulut.
Bagaimanapun dia dilaporkan kembali kritikal susulan diserang jangkitan virus.
#Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin #jangkitan #PICU #sawan