KOTA BHARU: Sumber air bawah tanah dan atas permukaan bumi terlalu banyak di Kelantan sehingga melebihi keperluan sedia ada.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, tiada tempat simpanan air yang sesuai sehinggakan sumber air yang ada di bumi negeri itu tidak dapat dimanfaatkan.

"Kita di Kelantan, air ini melebihi keperluan. Dalam tanah, dalam sungai, air hujan semua tu melebihi, cuma kita tak boleh nak simpan, tak ada tempat nak simpan.

"Air bawah tanah kita banyak, lebih daripada keperluan, tapi tak cukup loji.

"Bila buat loji paip pula pecah, jadi kita guna air bawah tanah lebih senang daripada guna air sungai. Masalah air sungai ni berkeladak.

"Air bawah tanah kita pula banyak kandungan besi, dan ini diakui oleh jurutera, sebab itu air nampak keruh.

"Bukan air kotor, tapi air bersih dan selamat untuk diminum. Bila masuk klorin, dia bertindak balas menyebabkannya menjadi keruh, ini yang terpaksa kita hadapi.

"Kalau kita buat tab (kolam takungan), kita boleh simpan air dan dari kolam atau tab dan kita boleh salur ke kawasan yang perlu," katanya kepada pemberita di pejabatnya semalam.

Mohd Amar berkata, cadangan projek pembinaan kolam takungan terbesar di Kelantan itu telah mendapat  kelulusan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Beliau berkata, pembinaan kolam takungan yang terletak di Machang itu sudah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan cadangannya dikemukakan dua tahun lalu.

Beliau sekali lagi menegaskan masalah air di Kelantan dapat diselesaikan sekiranya Kelantan memperoleh peruntukan mencukupi dianggarkan sekurang-kurangnya RM7 bilion.

Jelasnya, tidak pelik dan masuk akal keperluan peruntukan itu memandangkan keadaan keperluan semasa dan peningkatan kos.

"Sekarang ni tahun 2022, keperluan kewangan semakin meningkat sebab isu air kita tengok ialah pertambahan penduduk," kata Mohd Amar.

Jelasnya, anggaran RM7 bilion itu antaranya melibatkan pembinaan loji rawatan air (LRA) yang baharu, kolam takungan serta penukaran paip lama kepada yang baharu sekitar 5,000 kilometer.

Sebelum ini ada pihak termasuk badan bukan kerajaan dikenali sebagai Save Kelantan mempersoalkan jumlah RM7 bilion itu.