KANGAR: Air takungan di Empangan Timah Tasoh (ETT), Beseri hanya mampu bertahan selama tiga bulan sekiranya hujan tidak turun berikutan negeri ini sedang dilanda fenomena El Nino.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan Awam Negeri Perlis, Izizam Ibrahim berkata, bagaimanapun keadaan takungan air berkenaan masih lagi berada dalam keadaan baik dan pihaknya belum lagi merancang untuk melaksanakan catuan bekalan air mahupun pembenihan awan di kawasan empangan berkenaan.

“Sehingga hari ini, bacaan paras air ETT berada pada paras 28.57 meter atau 25.5 juta liter padu di mana baki keseluruhan takungan air di ETT adalah sekitar 84 peratus.

“Paras berkenaan menunjukkan penurunan daripada paras normal ETT iaitu 29.1 meter dan berdasarkan pemerhatian kita setiap hari, purata penurunan air di empangan ini adalah sekitar 0.02 meter.

“Berdasarkan semakan kita, paras air yang terdapat di ETT ini mampu bertahan selama tiga bulan atau 90 hari lagi bergantung kepada keadaan cuaca semasa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Katanya, buat masa ini bekalan air yang terdapat di empangan berkenaan masih terus disalurkan untuk kegunaan domestik serta pengairan sawah yang terdapat di negeri itu.

“Walaupun paras air di empangan berkenaan masih diklasifikasikan sebagai baik, kita tetap berharap agar dapat berlakunya hujan dalam masa terdekat supaya paras berkenaan tidak terus turun sehingga paras kritikal iaitu 27.10 meter.

“Namun begitu, sekiranya tiada hujan yang berlaku serta pengairan air tetap dilakukan bagi sektor domestik dan pertanian, maka ia tidak mustahil untuk bekalan air sedia ada ini akan terus menurun hingga paras bahaya iaitu sekitar 25.3 meter,” katanya.

buat masa ini bekalan air yang terdapat di empangan berkenaan masih terus disalurkan untuk kegunaan domestik serta pengairan sawah yang terdapat di negeri itu. - Astro AWANI

Izizam berkata, langkah alternatif yang boleh dibuat apabila penurunan paras air ketara berlaku pada waktu itu adalah menerusi catuan bekalan air atau kaedah pembenihan awan di kawasan empangan berkenaan.

Negeri di bahagian utara Semenanjung Malaysia termasuk Perlis sedang mengalami cuaca panas berikutan fenomena El Nino dan disebabkan itu juga, masyarakat dinasihatkan supaya tidak menjalankan aktiviti riada dan rekreasi di luar rumah kerana ditakuti mendapat strok haba.

Selain itu, kawasan Chuping di negeri itu juga pernah merekodkan bacaan suhu cuaca panas paling tinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak 40.1 darjah celcius pada 9 April 1998.