KUALA NERUS: Lebih 20 kampung di Terengganu dijangka berdepan risiko banjir berikutan fenomena air pasang besar berserta hujan lebat yang berterusan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata kesemua lokasi yang dikenal pasti itu melibatkan tujuh daerah di negeri Terengganu.

Jelasnya limpahan air laut juga mungkin berlaku di beberapa kawasan pantai peranginan termasuk Pantai Seberang Takir, Pantai Batu Buruk dan Pantai Kelulut, Marang berikutan fenomena itu.

"Kalau ikut maklumat yang kita terima daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), air pasang besar dijangka bermula pada 5 sehingga 13 November nanti dan kali kedua bermula pada 19 November sehingga 28 Disember dengan kadar ketinggian ombak dijangka pada kadar 2.4 sehingga 2.9 meter.

"Hasil pemantauan yang kita laksanakan pada Jumaat didapati masih ada pengunjung sebenarnya, walaupun air ombak tidak tinggi namun masih ada pengunjung yang melihat ombak," katanya.

Antara kawasan yang dijangka terjejas ialah Kampung Kubang Ikan, Kampung Kuala Ibai, Taman Permint Jaya, Taman Purnama dan Taman Sri Alamanda di Kuala Terengganu.

Bagi daerah Kuala Nerus pula melibatkan Kampung Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Kampung Pak Tuyu, Kampung Tanjung Gelam dan Kampung Baru Seberang Takir.

Justeru itu beliau meminta penduduk yang tinggal di kawasan sungai dan pantai juga supaya lebih berhati-hati dan berwaspada dengan keadaan semasa.

Mohd Rosman turut mengingat orang ramai supaya tidak berkunjung ke pantai untuk menyaksikan fenomena air pasang demi keselamatan mereka.

Menurutnya, fenomena air pasang besar dijangka melanda Terengganu sebanyak empat kali pada November dan pihaknya telah melakukan persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.