Air pasang besar: Penduduk Terengganu digesa bersiap siaga

Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Disember 1, 2021 21:12 MYT
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengambil kira pelbagai aspek bagi memastikan semua pihak bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Fenomena air pasang besar dan hujan lebat yang dijangka bermula Jumaat depan dibimbangi boleh mengakibatkan banjir terutama di kawasan rendah di Terengganu.
Sehubungan itu, penduduk di kawasan berisiko banjir diminta berpindah lebih awal ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau ke kawasan selamat.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Hanafiah Mat berkata sikap sesetengah penduduk berpindah pada saat akhir akan merumitkan keadaan dan boleh mengundang bahaya.
"Kalau mengikut GPS pada bulan 12 ini dijangka hujan hampir dalam 1,000 mm lagi yang belum turun yang kemungkin akan menyebabkan banjir di tempat-tempat rendah ini.
"Semua rakyat negeri Terengganu digesa bersiap siaga untuk menghadapi banjir dan apabila datang air pastikan saudara-saudara ini keluar daripada rumah ke pusat perpindahan dengan seberapa segera.
"Jangan ada lagi yang tertinggal ataupun ada duduk sampai atas bumbung terutama kalau ianya berlaku pada waktu malam," katanya.
Menurutnya, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengambil kira pelbagai aspek bagi memastikan semua pihak bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
Hanafiah berkata kerajaan negeri juga menyediakan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan mangsa di PPS bagi mengelak penularan COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir.
#air pasang besar #banjir #PPS #Hanafiah Mat