KUALA LUMPUR:Bekalan air bagi kira-kira 50 peratus kawasan di tujuh wilayah di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat yang terjejas sebelum ini sudah kembali pulih, petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, sehingga jam 6 petang tadi, bekalan air di 430 kawasan sudah kembali stabil.

Kenyataan itu menyebut, usaha menstabilkan sistem bekalan air di baki 431 kawasan lagi yang masih terjejas sedang dipergiat.

"Setakat ini, Air Selangor turut menyediakan bekalan air alternatif di Pusat Khidmat Setempat (PKS) termasuk pili-pili awam bermula jam 12 tengah hari Selasa," kata kenyataan itu.

Terdahulu, Air Selangor dalam satu kenyataan media memaklumkan bekalan air di 1,274 kawasan di Selangor sekali lagi terjejas apabila Loji Rawatan Air Sungai Selangor (SSP) 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang dihenti tugas awal pagi tadi.

Tindakan diambil berikutan pencemaran air sumber mentah dikesan di Sungai Selangor menyebabkan LRA Rantau Panjang dihenti tugas pada 11.30 malam semalam, manakala LRA Sungai Selangor pula pada pukul 1 pagi tadi.

Ia melibatkan 1,274 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Pada 10 November lalu, insiden sama berlaku apabila 1,279 kawasan di wilayah sama mengalami gangguan bekalan air yang berpunca daripada pencemaran bau seakan pelarut dikesan di Sungai Selangor sehingga mengakibatkan empat LRA telah dihenti tugas.