Air Selangor: Sistem agihan bekalan air tidak stabil, punca tangki air alami penyusutan mendadak

Afiq Ariffin
Disember 8, 2020 06:25 MYT
Masalah pada sistem agihan tersebut juga telah menyebabkan kebanyakan tangki-tangki air di kawasan perumahan mengalami penyusutan mendadak dan gangguan bekalan awal pagi ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Air Selangor memaklumkan bahawa pemberhentian tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang pada lewat malam Isnin yang disebabkan pencemaran air mentah di Sungai Selangor telah menyebabkan sistem agihan bekalan air berada dalam keadaan tidak stabil.
Jelasnya, masalah pada sistem agihan tersebut juga telah menyebabkan kebanyakan tangki-tangki air di kawasan perumahan mengalami penyusutan mendadak dan gangguan bekalan awal pagi ini.
“Justeru itu, sebanyak 861 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat mengalami tekanan air rendah dan bekalan air tidak stabil.
“Para pengguna yang terjejas dijangka akan menerima bekalan air yang stabil bermula jam 3 petang hari ini secara berperingkat-peringkat,” kata Air Selangor dalam satu kenyataan, di sini pada Selasa.
Tambah syarikat pengurusan air itu juga, pihaknya turut akan menyediakan bantuan bekalan air dengan mengerakkan lori-lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan keutamaan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.
Jelasnya lagi, maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com.
BACA: Pencemaran Sungai Selangor: 1,274 kawasan alami gangguan bekalan air

Air Selangor ingin memaklumkan henti tugas Loji Rawatan Air Rantau Panjang pada 11.30 malam, 7 Disember 2020 serta Loji Rawatan Air Sungai Selangor (SSP) 1, 2 dan 3 pada 1.00 pagi hari ini, berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor. #AirSelangor pic.twitter.com/HGx5cLnuYC

— Air Selangor (@air_selangor) December 7, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
LRA Rantau Panjang dihenti tugas pada 11.30 malam semalam manakala LRA Sungai Selangor pada jam 1 pagi tadi.
Pada 19 Oktober lalu, LRA yang sama turut dihenti tugas selepas pencemaran air sumber mentah dikesan di Sungai Selangor sekaligus menjejaskan 1.1 juta akaun pengguna.
Penduduk di Selangor telah mengalami sekurang-kurangnya 13 gangguan bekalan air tahun ini, dengan empat pada bulan Oktober sahaja.
#Air Selangor #Kuala Selangor #Hulu Selangor #loji rawatan air #Klang #shah alam #Kuala Lumpur #Kuala Langat #gangguan #pemberhentian tugas #bekalan air rendah #pusat dialisis #Twitter #Facebook #Instagram