"Tok tergamok nok royat, tempat ni beruboh seratus peratus," (Tak tergamak nak gambarkan tempat ni dah berubah 100 peratus) luah Bukhari Mat atau Bob, Timbalan Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Kelantan.

Kenyataan Bob, merujuk kepada keadaan Gua Ikan, Dabong, yang boleh disifatkan semakin hilang tarikannya, gara-gara kesan sampingan daripada pembalakan serta pembukaan ladang pertanian secara tidak terkawal di kawasan berdekatan.

Bob, berkecimpung dalam bidang eko-pelancongan sejak 1996.

Dia jadi pemerhati kepada perubahan yang berlaku di Gua Ikan, salah satu tarikan alam semula jadi yang terdapat di Dabong.

"Sayang, kawasan ini berubah dengan ketara, apabila ada kawasan-kawasan pembalakan dan kesan pembukaan ladang-ladang yang tidak terkawal.

"Apabila ada 'buffer' zon ini telah diceroboh, sungai yang jernih sebelum ini jadi hitam pekat, cemar (kotor) pengunjung nak mandi pun susah," terang Bob mengenai pemerhatiannya selama ini.


Gua Ikan dahulunya menjadi laluan masuk untuk ke Kompleks Gua Ikan yang terdiri daripada beberapa gua lain. - Astro AWANI/Marlina Manaf

Kalau dahulu, pengunjung ke Gua Ikan disajikan dengan air sungai jernih, sebelum mereka meneroka ke dalam gua.

Namun kini, bilangan pengunjung yang datang semakin berkurangan.

"Saya selalu melihat kekecewaan kalangan pengunjung, bayangkan anak-anak kecil bawa pelampung untuk mandi, tapi apabila tiba di sini, mereka tengok air sungai terlalu keruh, putus harapan," jelas Bob.

Kalau sungai keruh, tarikan apa yang tinggal?

Sungai yang jernih sebelum ini jadi hitam pekat. - Astro AWANI/Sallehin Hussain

Bob memberitahu, mereka mempelbagaikan aktiviti alternatif, untuk menjamin kehadiran pengunjung, termasuk aktiviti 'rock climbing'.

"Dulu Gua Ikan ini jadi laluan utama ke Kompleks Gua Ikan, yang terdiri daripada Gua Pagar, Gua Keris, untuk aktiviti penerokaan, tapi sebab kotor, tak ada yang nak masuk," luah Bob kesal.

Masalah menimpa Gua Ikan dakwa Azmin hanya sebahagian daripada masalah yang berlaku akibat gagal mengurus sumber alam sekitar.

"Banyak hutan kelantan dicerobohi, termasuk kawasan tadahan air, habis bukit botak, apabila hujan lebat, banjir berlaku akibat ketiadaan tanaman tutup bumi,"jelas Azmin Ali, Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan kepada Astro Awani.

Dakwa Azmin, kerajaan negeri Kelantan ambil jalan mudah mencari sumber kewangan dengan meluluskan lesen balak.

"Saya menyeru, merayu, mendesak, hentikan pembalakan secara melulu atau tidak terkawal, henti pembukaan ladang pertanian secara tidak terkawal apa kaedah sekalipun demi kelangsungan bumi Kelantan, demi generasi muda akan datang, kita tidak mahu negeri ini dilanda malapetaka sekali lagi," rayu Azmin.

Azmin berpendapat kerajaan negeri sewajarnya cari sumber kewangan lain.

Ini termasuk teroka potensi pelancongan kebudayaan, dengan keunikan masyarakat yang ada di negeri ini.

"Carilah alternatif lain untuk dapatkan sumber kewangan, antaranya perkasakan sektor pelancongan, mengkut kajian Universiti Malaysia Kelantan, sebuah bukit tu mengeluarkan bunga raflesia yang jadi kebanggaan, ini boleh menarik pelancongan," ujar Azmin.