KUALA LUMPUR: AirAsia ambil maklum mengenai rungutan penumpang berkenaan pembatalan dan penjadualan semula penerbangan ke beberapa destinasi menerusi aplikasi Threads semalam.
Pihak AirAsia ketika dihubungi turut menyatakan akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut mengenai hal tersebut.
Advertisement
“Buat masa ini, AirAsia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan (rasmi), sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata sumber kepada Astro AWANI.
Tambahnya, pengguna turut dinasihatkan agar mendapatkan maklumat rasmi dan bantuan melalui laman web www.airasia.com atau menggunakan aplikasi AirAsia MOVE.
Sebelum ini di Threads, seorang wanita berkongsi tangkapan skrin menunjukkan seorang pengguna menerima e-mel daripada AirAsia mengenai pembatalan penerbangan dari Johor Bahru ke Jakarta semalam.
“Segalanya sudah ditempah, termasuk kereta api, pengangkutan, dan hotel. Apa yang patut kami lakukan sekarang?” katanya.
Dalam hantaran tersebut pihak AirAsia memaklumkan penerbangan tersebut dibatalkan akibat isu operasi.
Dalam hantaran kedua pula, seorang pengguna memaklumkan bahawa penerbangan ke Jakarta yang dijadual pada 30 Mac telah dipinda ke tarikh dan waktu lain.