MALAYSIA

AirBorneo lancar laman web dan pusat panggilan, jualan tiket bermula esok

Faida Rahim 09/12/2025 | 10:00 MYT
Air Borneo bakal melancarkan laman web dan pusat panggilan rasminya esok (10 Disember).- AirBorneo
KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan milik kerajaan negeri Sarawak, AirBorneo secara rasmi akan melancarkan laman sesawang serta pusat panggilan esok yang menandakan permulaan jualan tiket susulan langkah pengambilalihannya ke atas MASwings pada akhir Disember ini.


Ringkasan AI
  • AirBorneo akan melancarkan laman sesawang dan pusat panggilan esok setelah mengambil alih MASwings pada akhir Disember ini.
  • Penumpang boleh beli tiket sebelum 13 Januari 2026 dari laman web MASwings, manakala selepas itu, belian tiket dilakukan di laman web AirBorneo.
  • Tiket dan tempahan MASwings sedia ada kekal sah tanpa perubahan, dan penumpang akan diberitahu mengenai tiket baru di bawah AirBorneo mulai Januari 2026.


Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan bahawa pelancaran tersebut merupakan langkah penting dalam proses peralihan, khususnya melibatkan urusan pembelian tiket serta penyelarasan perjalanan penumpang.

“Mulai 10 Disember, penumpang yang ingin membuat pembelian tiket bagi perjalanan pada atau sebelum 13 Januari 2026 diminta untuk terus menggunakan laman web MASwings di www.maswings.com.my.

“Bagi perjalanan pada atau selepas 14 Januari 2026, pembelian tiket akan dilakukan melalui laman web baharu AirBorneo di www.airborneo.com,” kata kenyataan itu.

Selain itu, pelanggan turut boleh membuat tempahan melalui pusat panggilan AirBorneo di talian 1-300-22-1388 (bebas tol) atau +60 82-537 555 untuk pemanggil antarabangsa.

AirBorneo turut menegaskan bahawa semua tiket dan tempahan MASwings sedia ada kekal sah, tanpa perubahan kepada masa serta tarikh penerbangan.

Tambah kenyataan itu lagi, penumpang yang memegang tiket MASwings bagi perjalanan bermula 14 Januari 2026 akan menerima makluman individu berhubung pengeluaran semula tiket mereka di bawah AirBorneo.

Maklumat tambahan boleh didapati di laman web AirBorneo, manakala pasukan khidmat pelanggan syarikat berkenaan turut disediakan bagi menjawab sebarang pertanyaan.









#Air Borneo #penerbangan #Sabah #MASWings