Ajal empat bersaudara

Sharom Abu Bakar
Ogos 11, 2016 02:14 MYT
Kesemua mangsa maut ditempat kejadian akibat mengalami kecederaan serius di bahagian kepala. - Foto Astro AWANI
Empat bersaudara maut dalam kemalangan pada awal pagi tadi membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan lori tiga tan berhampiran Sekolah Rendah Bukit Nanas, Tepoh, Kuala Nerus.
Menurut laporan awal, kereta tersebut yang datang dari arah Lingai menghala ke Tepoh bertembung dengan lori berkenaan yang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan.
Mangsa yang maut Mustapha Abdullah, 56 dan anaknya, Azman Mustapha, 32 serta saudaranya, Mohd Sabri Ngah, 48 dan Alif Ibrahim, 26.
Kesemua mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.
Salah seorang anggota bomba bantuan, Azlan Mustapha terpaksa ditenangkan selepas megetahui mangsa adalah ayah dan adik kembar serta dua orang saudaranya.
Beliau hanya menyedari perkara itu selepas melihat kad pengenalan mangsa.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai JBPM Terengganu, Mohamed Zulkhairul Mohamed Razilah berkata pihak bomba terpaksa mengambil masa hampir 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
"Jentera pertama adalah dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus diikuti dengan dua jentera tambahan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu iaitu sebuah FRT dan sebuah EMRS dengan jumlah keanggotaan seramai 17 orang anggota.
"Alhamdulillah, kita berjaya mengeluarkan mangsa dalam masa 30 minit disebabkan faktor mangsa berada dalam keadaan tersepit dan kita mengalami kesukaran sedikit untuk mengeluarkan mangsa," katanya.
Kesemua jenazah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk bedah siasat.
Sementara itu, pemandu lori, Azmi Sulong tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#kemalangan maut empat bersaudara #Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu