Negeri Johor bebas daripada sebarang ajaran sesat 'Haji Kahar Ahmad' yang mendakwa ketuanya sebagai 'Rasul Melayu'.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) sentiasa memantau ajaran sesat berkenaan bagi memastikannya tidak bertapak di negeri ini.

“Kita di Johor tak ada laporan tentang ‘Rasul Melayu’ tu, tapi saya sudah minta bahagian penguatkuasaan supaya memantau perkara ini.

“Tapi setakat hari ini, kita tak ada laporan wujudnya ‘Rasul Melayu’ di negeri Johor,” ujar Tosrin.

Kelmarin, 'Rasul Melayu' itu dilaporkan kembali aktif menyebarkan ajaran yang difatwakan diharamkan pada 1991 dan ditahan bersama-sama 16 pengikutnya oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di tiga lokasi berbeza di Shah Alam, Selangor, malam Ahad lalu.

Namun, semalam selepas sehari ditahan, Abdul Kahar Ahmad yang mendakwa dirinya sebagai 'Rasul Melayu' dan menyebarkan ajaran difatwakan sesat pada 1991 dibebaskan dengan bon jaminan mahkamah.

Selain Abdul Kahar, tiga lagi pengikutnya yang berusia lingkungan 30-an hingga 70 tahun turut dibebaskan manakala 13 lagi pengikut ajaran sesat berkenaan masih ditahan.