KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Akademi Kenegaraan akan meneraju kerjasama dengan semua pihak bagi memastikan keberkesanan Program Latihan Kenegaraan Malaysia MADANI.

Anwar berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Akademi Kenegaraan dipengerusikan beliau hari ini yang antara prakarsanya ialah bagi memperkasakan ilmu kenegaraan dan patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Fungsi akademi ini antara lain melaksanakan latihan kenegaraan yang lebih holistik dan komprehensif selain memberi khidmat nasihat dan runding cara berkaitan ilmu kenegaraan.

"Hatta, ia juga dapat membangun kurikulum yang sentiasa memenuhi keperluan semasa, jangkaan pemegang taruh dan pelanggan serta membangun kepakaran sumber manusia yang kompeten dalam melaksanakan program latihan berkualiti tinggi," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook semalam.

-- BERNAMA