Akademik, pengalaman dan bakat tingkat kualiti industri kreatif negara - CACE UUM

Astro Awani
Jun 16, 2021 07:07 MYT
Menurut dekan SCIMPA, Dr Ahmad Hisham Zainal Abidin, pendedahan awal kepada gerak kerja industri amat penting dalam menghasilkan pemikir dalam industri kreatif. - Foto: UUM
KUALA LUMPUR: Kombinasi pengetahuan akademik, pengalaman dan bakat adalah formula terpenting untuk membantu meningkatkan kualiti penghasilan produk dalam industri kreatif tanah air.
Perkongsian pengalaman dan bimbingan dari mereka yang bergiat dalam industri kreatif amat penting bagi memastikan pelajar dalam bidang itu tidak runsing mencari arah setelah tamat pengajian nanti.
Itulah kekuatan yang dimiliki Unit Seni Kreatif dan Pengurusan Acara di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam usaha melahirkan lebih ramai graduan yang berbakat dan mempunyai kemahiran dalam menguruskan kerjaya serta bakat setelah tamat pengajian kelak.
Menurut dekan SCIMPA, Ahmad Hisham Zainal Abidin, pendedahan awal kepada gerak kerja industri amat penting dalam menghasilkan pemikir dalam industri kreatif.
"Pelajar kami sentiasa dibimbing untuk memahami situasi semasa dalam industri kreatif agar tiada sebarang kejutan budaya apabila mereka melangkah masuk ke alam pekerjaan kelak.
"Lantaran itu, SCIMPA melalui Unit Seni Kreatif dan Acara Komersial (CACE) di mana kakitangan yang berbakat dalam seni yang sememangnya aktif dalam industri seni tanah air dilibatkan dalam proses pembelajaran dan pengajaran.
"Di samping itu juga kami bekerjasama rapat dengan agensi-agensi dan NGO dalam industri supaya sentiasa peka dengan perubahan yang berlaku serta dapat membuat penambahbaikan ke atas silibus serta kaedah penyampaian kepada para pelajar," jelasnya.
CACE yang diketuai Prof Madya Adzrool Idzwan Ismail merupakan satu unit yang ditubuhkan pada tahun 2017 dan menghimpunkan sebahagian daripada penjawat awam dalam kategori bakat dan seni di UUM bagi membantu menjana pendapatan kepada pusat pengajian dan universiti amnya.
Penerbit Rancangan di CACE, Nassarudin Ab Rasif menjelaskan, CACE dibahagikan kepada tiga bidang iaitu filem, muzik dan fotografi.
Ujarnya, setiap kakitangan yang berkhidmat dengan CACE mempunyai pengalaman luas dalam bidang masing-masing sekali gus membantu menjana pendapatan melalui bidang serta kepakaran mereka.
"Dalam industri perfileman kita bekerjasama dengan anak syarikat UUM, Uniutama Management Holdings Sdn Bhd, dalam menerbitkan kandungan di beberapa stesen televisyen.
"CACE bertindak sebagai perunding dan membantu syarikat menguruskan projek ini bermula daripada sesi pitching perolehan sehinggalah projek selesai.
"Jumlah pendapatan kasar yang disumbangkan oleh CACE, SCIMPA kepada UUM melalui projek filem untuk tahun 2019 hingga 2020 adalah sebanyak RM 1.1 juta melalui dua projek yang diluluskan oleh sebuah syarikat televisyen," katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, sebahagian daripada keuntungan bersih projek disumbangkan semula oleh anak syarikat UUM kepada CACE dan pusat pengajian.
Ujarnya, ia akan digunakan dalam pembangunan program akademik industri kreatif di UUM.
Mengulas isu sama, Pemimpin Orkestra UUM, Ahmad Shah Ismail berkata, CACE juga menghimpunkan lima orang pemuzik berpengalaman yang sentiasa aktif dalam bidang muzik.
"Saya mempunyai pengalaman sebagai pemuzik selama 40 tahun, Sub Unit Muzik banyak membuat persembahan di dalam dan luar kampus termasuk sering mendapat jemputan dari Istana Kedah dan majlis-majlis keraian VVIP dan swasta yang menjana pendapatan kepada CACE.
"Biarpun bergelar penjawat awam namun tanggungjawab dalam membantu majikan dalam menjana pendapatan dan sikap berjimat cermat harus dipikul bersama oleh setiap penjawat awam memandangkan kos untuk emolumen dan perbelanjaan lain kian meningkat saban hari.
"Sebelum terjadinya pandemik COVID-19 dan Perintah kawalan pergerakan (PKP), Majlis Konvokesyen merupakan 'lubuk' bagi menjana pendapatan untuk CACE dan UUM melalui aktiviti penjualan foto konvokesyen, jualan bingkai rasmi gambar dan lain-lain aktiviti," katanya.
Semenyata itu, Jurufoto CACE, Hairul Nizam menjelaskan, pendapatan melalui aktiviti foto konvokesyen merupakan penyumbang terbanyak di antara aktiviti lain.
Selain daripada itu ujarnya, penjanaan pendapatan kakitangan CACE turut membantu dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran (P&P) di mana pelajar diberi pendedahan dengan lebih jelas melalui perkongsian pengalaman dengan kakitangan berbakat.
Pada masa hadapan, CACE bukan sahaja akan menjadi sayap kanan kepada SCIMPA dan UUM malah dapat berperanan sebagai jambatan penghubung antara dunia akademik dan penggiat industri dalam melakarkan corak yang lebih baik dalam industri seni kreatif tanah air.
#COVID-19 #PKP #penjawat awam #CACE #UUM #SCIMPA #industri kreatif #pelajar #graduan #tamat pengajian #dunia kerjaya #seni kreatif #muzik #fotografi #filem