BERA: Umat Islam diingatkan tidak berbalah antara satu sama lain serta harus bersatu padu dan bermuafakat, titah Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin.

Menurutu Pemangku Raja Pahang itu, peringatan itu juga perlu diambil perhatian oleh semua individu yang menganggotai jawatankuasa mukim, kampung dan masjid di negeri Pahang.

"Saya mahu mengingatkan umat Islam, janganlah berbalah antara satu sama lain, sebaliknya, haruslah bersatu padu dan bermuafakat. Sewajarnya kita di negeri Pahang ini berusaha menjauhi salah faham dan kemelut kepentingan.

"Begitu juga dengan jawatankuasa mukim, kampung dan masjid. Saya tidak mahu melihat jawatankuasa di peringkat akar umbi bergaduh dan berpecah belah.

"Lumrah kita sebagai manusia mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza. Namun, ia tidak harus menjadi sebab untuk kita berpecah dan bertelingkah," titah Tengku Hassanal.

Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian masjid baharu Kampung Mengkarak dan majlis berbuka puasa di sini, semalam.

Masjid baharu yang dirasmikan baginda, diberikan nama Masjid Al-Muttaqin menelan belanja sehingga RM1.4 juta merupakan masjid ketiga yang dibina di atas tapak asal di kampung ini.

Pada majlis itu, baginda turut mengurniakan sumbangan dan bantuan kepada 100 orang golongan asnaf selain menyampaikan 10 komputer riba sumbangan anak syarikat Tabung Haji (TH) kepada pelajar golongan asnaf.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman dan Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Dalam perkembangan sama, baginda turut bertitah, bukan sahaja kerajaan diminta mengamalkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam kehidupan seharian, bahkan jawatankuasa kecil di peringkat akar umbi juga tidak terkecuali.

Baginda turut bertitah, sekiranya ada masalah, setiap jawatankuasa terbabit perlu duduk semeja dan bermusyawarah dengan baik.

"Saya telah bertitah kepada kerajaan negeri agar prinsip ESG ini diguna pakai dalam menguruskan khazanah dan bumi ini sengan sebaiknya.

"Kepada rakyat Pahang pula, sama-samalah mengamalkan prinsip ini. Antara yang boleh diamalkan ialah jangan melakukan pembaziran, amalkan inisiatif kitar semula dan menguruskan pembukaan tanah dengan baik," titah baginda lagi.