JERTIH: Seorang lelaki ditahan hari ini bagi membantu siasatan cuba memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di sini, disyaki akibat terdesak untuk membeli dadah.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata kejadian disedari kakitangan bank terbabit pada 6.30 petang semalam, apabila menerima panggilan daripada khidmat pengurusan bank memaklumkan mesin deposit dan pengeluaran cawangan bank itu telah diumpil.

"Hasil pemeriksaan, kakitangan bank berkenaan mendapati pintu hadapan mesin itu cuba dipecah, namun suspek gagal mengambil wang di dalamnya.

"Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati alat penggera berbunyi pada 6 petang semalam dan kelihatan seorang lelaki dipercayai suspek sedang mengumpil pintu mesin itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis berjaya menjejak dan memberkas lelaki berusia 42 tahun itu di sebuah rumah di Kampung Bukit Rambutan di sini, pagi tadi.

Menurut Abdul Rozak, sebelum melakukan perbuatan itu suspek didapati kerap pergi ke bank tersebut untuk menyemak wang dalam akaunnya.

"Suspek mengatakan dia pergi beberapa kali (ke bank) untuk menyemak sama ada bantuan khas kerajaan telah dimasukkan ke dalam akaunnya atau pun tidak.

"Namun setelah mendapati akaun masih kosong, suspek bertindak mahu mengambil wang di dalam mesin ATM untuk mendapatkan bekalan dadah kerana dia terputus bekalan beberapa hari kerana tiada wang," katanya.

Beliau berkata lelaki itu yang memiliki dua rekod lampau berkaitan dadah dan satu kes jenayah kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

-- BERNAMA