Skip to main content

Malaysia

Akauntan mengaku tidak bersalah bantu syarikat kurang lapor cukai RM2.5 juta

71743102937_courtgavel.jpg
Kes dikemukakan mengikut Subseksyen 114(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara. - Gambar hiasan
Advertisement

GEORGE TOWN: Seorang akauntan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membantu serta menasihati sebuah syarikat menyediakan penyata pendapatan yang menyebabkan cukai terkurang lapor kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebanyak RM2,526,144.24 pada 2021.

Orang Kena Saman Chew Ai Keow, 63, sebagai ahli kongsi firma perkhidmatan perakaunan Abbacus Cloud Solutions, membuat pengakuan itu mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Idayu Salim.

Wanita itu didakwa membantu, menasihati svarikat Penshrimp Fishery Sdn Bhd mengemukakan penyata pendapatan kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri apabila menyemak dan meluluskan penyediaan lejer jualan, dengan tidak memasukkan transaksi jualan RM10,678,133.00 dalam penyata akaun bank milik syarikat yang sepatutnya direkodkan.

Chew didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah premis beralamat 105-07-07 Jalan Gurdwara, Hexagon Tech Park di Pulau Pinang ketika dilantik sebagai penyedia akaun syarikat Penshrimp Fishery Sdn Bhd antara Januari hingga Mac 2021.

Tindakan itu menyebabkan penyediaan penyata pendapatan di bawah Seksyen 77A (1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dalam Borang C syarikat tersebut bagi tahun taksiran 2020 bertarikh 25 Mac 2021 yang dikemukakan kepada LHDN, telah terkurang lapor cukai sebanyak RM2,526,144.24.

Kes dikemukakan mengikut Subseksyen 114(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa LHDN Azniwati Yahya menawarkan jaminan berjumlah RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala peguam mewakili  wanita itu, N Dylan memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan pada kadar minimum, dengan alasan anak guamnya mempunyai keluarga dan pekerjaan tetap di Pulau Pinang serta tidak berisiko melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan Chew diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, selain menetapkan 28 Okt sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement