MALAYSIA

AkhiRI: Set pengurusan jenazah Yayasan Rizalman Ibrahim galak kesedaran persediaan akhir hayat

Astro Awani 02/01/2026 | 23:50 MYT
Sebanyak 34 barangan yang diperlukan untuk pengurusan jenazah baik untuk lelaki dan perempuan disediakan dalam AkhiRI yang merangkumi antaranya kain kafan sembilan meter dan set mandian jenazah.
KUALA LUMPUR: Yayasan Rizalman Ibrahim (RI) yang dinaungi oleh personaliti, usahawan dan dermawan, Datuk Rizalman Ibrahim memperkenalkan AkhiRI - satu inisiatif yang mengajak masyarakat melihat persediaan akhir hayat dengan lebih tenang dan berlapang dada – bukan sebagai sesuatu yang menakutkan, tetapi sebagai langkah wajar yang sarat makna dan tanggungjawab.

Menurut Rizalman, idea ini tercetus daripada kesedaran bahawa ramai dalam kalangan masyarakat tidak benar-benar bersedia menghadapi saat yang pasti dalam kehidupan.

“AkhiRI bukan sekadar produk, tetapi usaha meningkatkan kesedaran agar urusan fardu kifayah dapat dilaksanakan dengan lebih teratur, kemas dan tidak membebankan ahli keluarga ketika berdepan kehilangan,” kata beliau dalam wawancara dengan Astro AWANI, baru-baru ini.

Berbeza daripada kit akhir hayat yang lazim di pasaran, AkhiRI direka sebagai set lengkap yang mengambil kira situasi sebenar keluarga ketika berdepan kematian.

Sebanyak 34 barangan yang diperlukan untuk pengurusan jenazah baik untuk lelaki dan perempuan disediakan dalam AkhiRI yang merangkumi antaranya kain kafan sembilan meter, set mandian jenazah (termasuk sabun gel bidara, kapur barus, serbuk cendana dan debu tayammum), sampul tisu basah, bantal kecil serta kain tutup jenazah

Sebagai tambahan, set AkhiRI turut menampilkan kit ziarah yang membantu menguruskan lawatan dan penghormatan kepada jenazah dengan lebih tertib.

Setiap pembelian AkhiRI turut disertakan RItote SeRI Muka daripada rangkaian jenama RI sebagai hadiah percuma.

Bagi pembelian kombo, dua set AkhiRI hadir bersama Mushaf Edisi Khas bersaiz B4 yang diterbitkan secara terhad.

Hasil jualan 100 peratus untuk kebajikan

Inisiatif ini dilaksanakan sebagai sebahagian usaha Yayasan RI, dengan semua hasil jualan disalurkan kepada yayasan bagi menyokong pelbagai program kebajikan dan kemanusiaan.

"Segala keuntungan daripada jualan set AkhiRI akan disalurkan kepada tabung yayasan yang membolehkan kami membantu golongan memerlukan serta menampung semua aktiviti Yayasan RI," jelas Rizalman lagi.
Orang ramai yang ingin melihat kit ini secara dekat dijemput ke Pameran GaleRI Visual di RIhall, Kuala Lumpur, dari 1 hingga 3 Januari 2026, jam 10 pagi hingga 6 petang.

Pembelian juga boleh dibuat melalui laman web rasmi yayasan di yayasanri.org atau secara walk-in di lokasi pameran.

“AkhiRI adalah satu persiapan menuju destinasi berikutnya – disediakan dengan penuh keinsafan, dikongsi sebagai usaha bersama, dan diharapkan dapat meringankan langkah mereka yang tinggal,” kata Rizalman lagi.





#Rizalman Ibrahim #AkhiRI #set pengurusan jenazah #Yayasan Rizalman Ibrahim