MALAYSIA

AKM KPKT angkat martabat penjawat awam cemerlang

Ernalisa Othman 08/11/2025 | 14:30 MYT
Kor Ming berkata, pengiktirafan itu menjadikan AKM satu anugerah bukan sahaja berprestij malah menjadikan AKM unik menerusi pengiktirafan luar biasa yang diberikan. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penjawat awam yang menerima Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2025 bakal menikmati peluang keemasan menimba ilmu di universiti tersohor dunia seperti Universiti Harvard dan Universiti Melbourne menerusi tajaan penuh kementerian.


Ringkasan AI
  • Penjawat awam penerima Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan 2025 berpeluang belajar di universiti terkemuka dunia seperti Harvard dan Melbourne dengan tajaan penuh kementerian, menandakan pengiktirafan tinggi terhadap dedikasi dan profesionalisme mereka.
  • Menteri KPKT, Nga Kor Ming menyatakan AKM adalah simbol pengiktirafan tertinggi untuk warga penjawat awam yang bekerja dengan hati dan nilai tinggi, memperkukuhkan kepimpinan dan kecemerlangan dalam pembangunan negara serta budayakan kecemerlangan dalam perkhidmatan awam.
  • AKM yang diperkenalkan sejak 2023 di KPKT telah menjadi wadah penghargaan berprestij bagi warga perkhidmatan awam yang menonjol di peringkat kementerian, jabatan, agensi dan PBT, di samping mencapai kejayaan termasuk Inisiatif Sifar Sisa yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pengiktirafan itu menjadikan AKM satu anugerah bukan sahaja berprestij malah menjadikan AKM unik menerusi pengiktirafan luar biasa yang diberikan.

"Maka, AKM adalah satu simbol pengiktirafan tertinggi terhadap dedikasi, profesionalisme, dan semangat juang warga penjawat awam. Pada malam ini, kita meraikan mereka yang bukan sahaja telah bekerja keras, tetapi bekerja dengan hati dan nilai yang tinggi.

"Kepimpinan dan kecemerlangan yang menjadi asas kukuh untuk memacu pembangunan negara. Ia juga menandakan usaha berterusan untuk membudayakan kecemerlangan sebagai norma kerja dalam perkhidmatan awam.

"Dunia kini bergerak pantas. Harapan rakyat semakin tinggi. Maka, penjawat awam perlu sentiasa bersedia berubah, berinovasi dan bertindak proaktif dalam memenuhi tuntutan ini. Sehubungan itu, budaya kerja
berasaskan integriti, profesionalisme dan tanggungjawab, perlu menjadi nadi kepada setiap tindakan kita," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) di ibu negara pada Sabtu.

Nga berkata sejak diperkenalkan pada tahun 2023, AKM yang dilaksanakan sekali dalam setiap dua tahun itu telah menjadi wadah berprestij bagi menghargai warga perkhidmatan awam yang menunjukkan kecemerlangan luar biasa di peringkat kementerian, jabatan, agensi dan 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

"Di KPKT, kita sentiasa menyeimbangkan kemajuan fizikal dengan kesejahteraan sosial serta kelestarian alam sekitar. Antara pencapaian membanggakan sepanjang 2024 hingga 2025 termasuk kejayaan Inisiatif Sifar Sisa (Zero Waste) yang kini menjadi model rujukan di rantau ASEAN, selain pengiktirafan antarabangsa melalui Special Citation Award for Contributions to Zero Waste Living di Istanbul pada Oktober lalu.

“Malaysia juga, melalui KPKT, telah diberi kepercayaan menerajui Perhimpunan UN-Habitat bagi penggal 2025 hingga 2029 membuktikan pengiktirafan dunia terhadap kepimpinan negara dalam pembangunan bandar mampan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG11)," jelasnya.

Sebanyak sepuluh anugerah disampaikan pada majlis AKM antaranya ⁠Anugerah Pelaksana Terbilang
Anugerah Ikon Inspirasi, Anugerah Organisasi Sejahtera, Anugerah Organisasi Unggul,Anugerah PBT Cemerlang, Anugerah Kepimpinan Harapan, Anugerah Kepimpinan Berinspirasi, Anugerah Kepimpinan PBT Terbaik, Anugerah Kepimpinan Terbaik dan Anugerah Keunggulan Menteri .



#KPKT #penjawat awam #ASEAN #pbt