KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh kalah dalam kes saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan diperintahkan membayar ganti rugi serta kos keseluruhan RM300,000.
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Isa Aziz Ibrahim pada Isnin selepas mendapati Muhamad Akmal bertanggungjawab terhadap kenyataan berunsur fitnah yang menjadi asas saman berkenaan, lapor Sinar Harian.
Daripada jumlah tersebut, RM250,000 merupakan ganti rugi, manakala RM50,000 lagi adalah kos perundangan yang perlu dibayar kepada Teresa.
Mahkamah turut memerintahkan Muhamad Akmal memadamkan hantaran berkaitan dalam tempoh tujuh hari, selain mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalangnya mengulangi kenyataan berunsur fitnah terhadap Teresa.
Peguam Teresa, Datuk Sankara Nair dilaporkan menyifatkan penghakiman itu sebagai adil dan saksama, selain mengingatkan bahawa kritikan dalam politik mempunyai batasan dari sudut undang-undang.
Sementara itu, Teresa menyambut baik keputusan mahkamah yang disifatkannya sebagai membersihkan nama dan reputasinya daripada dakwaan yang dilemparkan sebelum ini.
Beliau turut berpandangan keputusan tersebut menjadi peringatan kepada ahli politik supaya lebih bertanggungjawab dan memastikan setiap kenyataan yang dikeluarkan mempunyai asas.
Mengulas mengenai wang ganti rugi, Teresa memaklumkan beliau lazimnya menggunakan wang yang diterima daripada kes saman untuk tujuan amal, selain mengambil kira bayaran guaman.
Terdahulu, media melaporkan Teresa memfailkan saman pada 25 Oktober 2024 susulan video TikTok yang dimuat naik Muhamad Akmal pada 7 September tahun sama, ketika tercetus polemik berhubung isu pensijilan halal.
Dalam tuntutannya, Teresa mendakwa kenyataan itu menggambarkan dirinya sebagai tidak mempunyai pengetahuan mengenai pensijilan halal, selain menentang dasar kerajaan berkaitan amalan Islam.