[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

AKPS sahkan 18 pegawai direman SPRM semalam

Bernama 11/09/2025 | 13:15 MYT
Mohd Shuhaily berkata kesemua pegawai berkenaan bertugas di Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 18 pegawai penguat kuasa yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam merupakan pegawai yang bertugas di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika mengesahkan perkara itu berkata kesemua pegawai berkenaan bertugas di Terminal 1 dan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Beliau juga sudah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menyatakan sokongan terhadap tindakan itu bagi mengatasi gejala rasuah, sekali gus bersedia bekerjasama dalam membantu siasatan pihak berkenaan.

"Sebanyak 18 yang ditahan reman membabitkan pegawai AKPS, selebihnya dipercayai mereka yang bersekongkol dengan sindiket, saya rasa pembabitan mereka jauh lebih lama daripada penubuhan AKPS," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan di sini hari ini.

Semalam, SPRM dilaporkan menahan 27 individu termasuk 18 pegawai agensi penguat kuasa kerana disyaki terbabit dalam sindiket counter setting yang melepaskan warga asing masuk ke negara ini tanpa mengikut prosedur ditetapkan.

Menurut sumber, kesemua suspek terdiri daripada 19 lelaki dan lapan wanita yang berumur lingkungan 20 hingga 50 tahun, ditahan dalam satu operasi di sekitar Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

Sumber juga memaklumkan SPRM telah membekukan 40 akaun perbankan melibatkan 34 akaun individu dan enam akaun syarikat dengan nilai melebihi RM1 juta susulan operasi berkenaan.

Selain itu, SPRM telah membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, Melaka, Seremban dan Kuala Lumpur pagi tadi, dan kesemua suspek kini direman tiga hingga tujuh hari.

-- BERNAMA



#SPRM #warga asing #Mahkamah Majistret #AKPS